Politik 16/08/2026 01:40 PM

PKR Perlu Perkukuh Naratif Ekonomi MADANI Demi Kelangsungan Reformasi - Fuziah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKR Perlu Perkukuh Naratif Ekonomi MADANI Demi Kelangsungan Reformasi - Fuziah
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Fuziah Salleh ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memperkukuh kerangka pemikiran dan naratif berteraskan Ekonomi MADANI bagi memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kepimpinan di semua peringkat harus memainkan peranan proaktif dalam menterjemahkan pemikiran parti kepada tindakan yang berkesan.

“Tugas kita di hadapan berat. Ya, kita mahu menang war (peperangan) tapi amunisi kita harus cukup. Ia bukan mudah, bukan sedikit (tetapi) menuntut kita untuk sangat berdisiplin dan komited dalam menterjemahkan pemikiran tersebut kepada tindakan.

“Kalau perwakilan yakin ini adalah kerangka pemikiran dan kerja yang digariskan ke depan, maka kita perlu olah cara berfikir, cara berkomunikasi dan olah naratif kita,” katanya.

Fuziah berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional PKR 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan reformasi institusi memerlukan komitmen jitu dan disiplin tinggi daripada seluruh jentera parti mahupun pentadbiran. 

Berhubung hala tuju parti, Fuziah menegaskan keutamaan PKR adalah untuk kekal inklusif dan memperjuangkan nasib segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun keturunan.

“Dalam parti kita, tidak ada istilah ini hak orang Melayu, ini hak orang India… yang miskin (juga) kita perjuangkan, bukan berdasarkan kaum atau sosioekonomi,” katanya.

Fuziah berkata komitmen berterusan terhadap prinsip keadilan dan pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI akan menjadi teras utama parti dalam mendepani cabaran politik serta pentadbiran masa kini. 

-- BERNAMA