MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan kesediaan beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Aminuddin berkata beliau akur dengan tuntutan enam Ketua Cabang PKR di negeri berkenaan, yang mendesak kepimpinan parti menilai semula kedudukannya selepas PKR hanya memenangi dua daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang ditandingi.
“Saya juga mengambil maklum tuntutan enam Ketua Cabang Negeri Sembilan, yang mahu saya mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan tersebut. Saya ingin menegaskan secara terbuka bahawa saya bersetuju dengan tuntutan tuan-tuan.
“Saya juga menerima tanggungjawab ini, saya memimpin maka saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab dan saya tidak mahu bersembunyi di sebalik pelbagai alasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Aminuddin berkata beliau menyerahkan keputusan mutlak kepada pucuk pimpinan parti dan sedia menerima sebarang tindakan, demi kelangsungan masa depan PKR.
“Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti. Jika parti melihat ada keputusan yang perlu dibuat demi masa depan Keadilan, saya akur.
“Tetapi saya ingin tegaskan bahawa tidak akan menjadi kekalahan sebagai alasan untuk berhenti berjuang, sebaliknya kekalahan ini mesti menjadi titik permulaan kepada pembinaan semula dan ini yang kita harapkan,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos, PKR hanya berjaya mempertahankan dua kerusi iaitu DUN Chuah dan Sri Tanjung daripada keseluruhan 15 kawasan yang ditandingi di negeri berkenaan.
Selain itu, Aminuddin yang bertanding di DUN Linggi, tewas dengan majoriti 2,976 undi dalam saingan tiga penjuru, membabitkan penyandang kerusi berkenaan dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Bersatu Datuk Zamri Md Said.
Aminuddin mendapat 6,163 undi manakala Datuk Mohd Faizal (9,139 undi) dan Zamri (391 undi).
-- BERNAMA