Am 16/08/2026 02:06 PM

45 Mahasiswa B40 Di Parlimen Tapah Dapat Bantuan Komputer Riba

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
45 Mahasiswa B40 Di Parlimen Tapah Dapat Bantuan Komputer Riba
Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan (dua, kiri) beramah mesra bersama para penerima ketika menghadiri Program Serahan Komputer Riba kepada Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 hari ini.

TAPAH, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 45 mahasiswa terdiri daripada keluarga B40 dari Parlimen Tapah menerima komputer riba di bawah program yang telah memanfaatkan lebih 1,000 mahasiswa sejak diperkenalkan pada 2008.

Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan berkata daripada jumlah penerima tahun ini, 30 orang merupakan pelajar diploma, diikuti lima orang peringkat sijil, empat penuntut matrikulasi, tiga mahasiswa ijazah serta masing-masing seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pelajar Asasi. 

“Komputer riba kini bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya menjadi keperluan asas bagi mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), susulan perubahan kaedah pembelajaran yang semakin bergantung pada teknologi digital.

"Maka, kita pastikan kumpulan B40, khususnya di Parlimen Tapah, dibekalkan dengan bantuan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Serahan Komputer Riba Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 di Dewan Mahatma Gandhi, di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan komputer riba itu diteruskan tahun ini bagi memastikan mahasiswa daripada keluarga B40 tidak tercicir dalam pendidikan hanya disebabkan kekangan kewangan untuk menyediakan peralatan berkenaan.

Saravanan berkata pemilihan penerima dibuat menerusi jawatankuasa yang menilai setiap permohonan dengan mendapatkan maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pemimpin setempat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Dalam pada itu, Saravanan berkata peningkatan akses pendidikan turut menyaksikan semakin ramai anak masyarakat Orang Asli dari Parlimen Tapah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan menceburi bidang profesional.

“Saya bangga kerana dalam masa 20 tahun ini kita lihat anak-anak Orang Asli sudah mula menjadi doktor, peguam dan sebagainya. Hal ini akan memberikan semangat kepada golongan yang sebelum ini tercicir,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan komputer riba Aidil Iskandar Ramlan, 18, berkata komputer riba berkenaan amat bermakna sebagai persediaan untuk memulakan pengajian Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Pahang, bulan depan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor itu berkata komputer riba berkenaan akan digunakan untuk menyiapkan tugasan dan pelbagai aktiviti berkaitan pengajian.

“Sumbangan ini sangat membantu dari segi kewangan kerana ibu bapa saya tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli komputer riba, sekali gus dapat mengurangkan beban keluarga saya,” kata anak kepada pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah dan suri rumah itu.

Seorang lagi penerima, Ea Endry Iana Aslan, 19, berkata komputer riba berkenaan akan digunakan untuk mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej FELCRA.

“Komputer riba ini membantu meringankan beban keluarga dan memudahkan saya sebagai pelajar yang sukar untuk membeli komputer riba sendiri. Saya berterima kasih kepada beliau (Saravanan) kerana membantu meringankan beban keluarga saya,” katanya.

-- BERNAMA