KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 11 pagi tadi, dengan kawasan IPD Serian merekodkan IPU 162.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata dua lagi kawasan iaitu Samarahan merekodkan bacaan IPU 155 dan Kuching (132), dipercayai dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Beliau berkata 65 lagi kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Dalam pada itu, Azuri Azizah berkata berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 15 Ogos, sebanyak 132 titik panas dikesan di Kalimantan, 115 di Sumatera dan enam di Malaysia, masing-masing satu di Melaka dan Johor serta dua di Sarawak dan Sabah.
“Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC hari ini menunjukkan titik panas bertaburan di kebanyakan kawasan Kalimantan, selain titik panas terpencil di Pulau Jawa, Kepulauan Sunda Kecil, Sulawesi dan bahagian selatan Sumatera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kepulan asap sederhana diperhatikan di bahagian selatan dan barat Kalimantan, manakala kepulan asap setempat ringan dikesan di bahagian selatan dan tengah Sumatera.
Bagaimanapun, Azuri Azizah berkata litupan awan yang meluas menghalang pemerhatian penuh terhadap situasi titik panas dan jerebu semasa.
Beliau berkata JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi talian 999 atau JAS (1-800-88-2727).
-- BERNAMA