Politik 16/08/2026 02:59 PM

PKR Perlu Terus Pertahan Politik Adil, Tolak Isu Perkauman - Naib Presiden

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKR Perlu Terus Pertahan Politik Adil, Tolak Isu Perkauman - Naib Presiden
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- PKR perlu terus mempertahankan pendekatan politik yang adil kepada semua golongan masyarakat, sambil menghormati kedudukan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata kedudukan agama Islam dan orang Melayu, adalah teras dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dihormati semua pihak.

“Tapi dalam masa sama, kita berlaku adil kepada semua orang Melayu, orang Cina, India, orang Kristian, Buddha dan Hindu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata perjuangan reformasi yang dicetuskan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, telah berjaya mengarusperdanakan pelbagai perkara termasuk penyuburan demokrasi dan hak asasi, pengagihan ekonomi yang adil dan pentadbiran kerajaan berintegriti.

Senada dengan Amirudin, Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan mahu PKR kekal tegas dalam mempertahankan kepelbagaian kaum di negara ini, serta menolak sekeras-kerasnya tindakan menggunakan isu perkauman sebagai modal politik.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pendirian itu penting, bagi memastikan keharmonian rakyat kekal terjamin dan tidak tergugat oleh agenda politik yang sempit.

“Dalam politik negara kita, ada pihak yang sengaja memainkan isu perkauman untuk meraih undi dan memecahbelahkan perpaduan demi kepentingan diri. Namun, PKR harus terus menjadi parti yang tegas mempertahankan kepelbagaian dan menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” katanya.

Ramanan turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli parti mengutamakan kesatuan serta mengenepikan ego peribadi, demi mengukuhkan jentera parti di semua peringkat.

“Kalau kita bergaduh sesama sendiri di atas, yang akhirnya menjadi mangsa ialah jentera di bawah. Cabang terjejas, Ranting terjejas, anggota keliru, jentera menjadi lemah dan akhirnya lawan politik kita yang mendapat keuntungan. Kita mesti bekerjasama sebagai satu keluarga,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Chang Lih Kang berkata ketahanan serta keberkesanan parti bukan bergantung kepada propaganda isu perkauman, sebaliknya dibuktikan menerusi peningkatan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap wakil rakyat yang berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lepas, yang menyaksikan sokongan pengundi Melayu terhadap Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menunjukkan peningkatan positif, meskipun berdepan propaganda politik identiti.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan politik identiti sebagai persaingan zero-sum game yang tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada masa depan negara, malah hanya menyemai benih perpecahan.

Naib Presiden PKR itu berkata persaingan politik berasaskan identiti dan perkauman perlu dihentikan serta-merta, sebaliknya digantikan dengan politik prestasi demi kelangsungan ekonomi negara.

“Jangan bertarung dalam gelanggang politik identiti, politik perkauman, tiada pemenang. Politik perkauman dan politik identiti tiada pemenang, zero-sum game. Kita ajak rakyat nilai kita berasaskan politik prestasi. Prestasi ekonomi, prestasi kebajikan rakyat,” katanya.

Selain itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kepelbagaian kaum di Malaysia adalah satu realiti yang perlu diterima dengan hati terbuka dan bukannya dijadikan instrumen untuk menyemai rasa takut.

Beliau juga menggariskan tiga pendekatan utama yang perlu diberi tumpuan oleh Kerajaan MADANI dan kepimpinan parti, bermula dengan memacu pertumbuhan ekonomi  atau grow the pie, agar faedahnya dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Pendekatan kedua ialah mengalihkan bantuan mengikut keperluan sebenar rakyat tanpa mengira latar belakang dan warna kulit atau need-based, manakala keutamaan ketiga ialah meneruskan agenda tatakelola baik atau good governance serta membanteras amalan rasuah yang merugikan harta dan khazanah negara.

Beliau turut menekankan bahawa ancaman sebenar kepada sesebuah kaum bukannya kehadiran kaum lain, sebaliknya masalah kemiskinan dan isu sosial seperti penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda.

-- BERNAMA