MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau memilih kestabilan politik dan kemakmuran rakyat, selain mahu kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat Persekutuan diteruskan.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata sebarang keputusan politik tidak wajar didorong oleh kepentingan pangkat, kedudukan atau kemarahan, sebaliknya mesti berlandaskan kepentingan rakyat dan negara.
“Dengan apa yang berlaku kebelakangan ini, ada yang bertanya bagaimana hubungan dengan UMNO dan BN. Saya kata kita mesti fikir dan harus lebih waras, ada hikmah dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Kita pilih kestabilan, kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi dan pilih bekerjasama terus dengan UMNO–BN pada peringkat Persekutuan supaya dua prinsip ini diteruskan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Anwar berkata pilihan berkenaan merupakan pendiriannya, manakala keputusan UMNO dan BN pula terserah kepada kepimpinan parti berkenaan.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberikan bayangan bahawa kerajaan dan partinya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya perkembangan politik memerlukan mereka membuat keputusan yang lebih tegas.
“Pilihan mereka, biar mereka jawab! Dan kita sebagai satu parti perjuangan, apa-apa pun kita bersedia. Kalau terpaksa langgar, kita terpaksa langgar,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar menekankan keperluan semua pihak menggunakan kebijaksanaan dan tidak mengambil langkah yang keterlaluan sehingga menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan sendiri ialah hasil kesedaran politik dan kecintaan kepada negara yang mengutamakan kestabilan, bukannya politik yang berpecah-pecah.
Anwar turut menyifatkan hubungan peribadinya dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih begitu baik dan percaya sebarang perbezaan boleh dibincangkan antara sahabat.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata setakat ini, beliau belum mendengar sebarang pandangan negatif pada peringkat Kerajaan Persekutuan berhubung kerjasama berkenaan, satu keadaan yang berbeza berbanding di negeri.
Menggunakan perumpamaan pantun, beliau berkata keadaan sebenar di sebalik sesuatu perkembangan politik mungkin tidak diketahui secara terbuka.
“Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu?” kata Anwar.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menilai sebarang langkah politik secara waras, penuh hikmah dan berpandukan kepentingan negara agar setiap yang dilakukan tidak dibuat dengan gopoh serta keterlaluan.
Perdana Menteri turut berterima kasih kepada DAP, Amanah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menzahirkan sokongan agar hubungan sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan diteruskan.
“Saya ucap terima kasih. Permintaan mereka teruskan hubungan sehingga akhir penggal, jalankan tugas dengan baik, jaga kestabilan dan angkat kemajuan serta ekonomi negara,” kata beliau.
-- BERNAMA