Politik 16/08/2026 03:09 PM

MIC Kekal Pendirian Pertahan Satu Kerusi Pada PRN Melaka - Saravanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MIC Kekal Pendirian Pertahan Satu Kerusi Pada PRN Melaka - Saravanan
Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan (dua, kiri) beramah mesra bersama para penerima ketika menghadiri Program Serahan Komputer Riba kepada Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 hari ini.

TAPAH, 16 Ogos (Bernama) -- MIC setakat ini kekal dengan pendirian untuk mempertahankan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata kemungkinan menambah kerusi yang akan ditandingi parti itu masih dalam pertimbangan dengan kesesuaian kawasan, kekuatan calon dan peluang kemenangan antara faktor yang dinilai.

“Sebarang keputusan berkaitan pertambahan kerusi pada PRN Melaka masih belum dimuktamadkan kerana perkara itu masih dalam pertimbangan kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas Program Serahan Komputer Riba Mahasiswa Parlimen Tapah 2026 di sini hari ini.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran kini menilai calon yang berpotensi untuk bertanding dengan keputusan dijangka dalam masa terdekat.

Beliau berkata MIC turut memberikan tumpuan kepada persiapan pilihan raya termasuk mengenal pasti pengundi dan isu semasa yang perlu diberi perhatian.

Pada PRN Melaka 2021, MIC yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek menerusi VP Shanmugam dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 559 undi.

-- BERNAMA