GUA MUSANG, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak lapan tan pakaian terpakai diagihkan kepada penduduk Orang Asli di lapan penempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, termasuk Kampung Ladoi, di sini, yang menerima bantuan itu buat kali pertama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata program memasuki tahun kedua penganjurannya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang menyumbangkan pakaian dari seluruh negara untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata pakaian yang dikumpulkan dalam tempoh enam hari menerusi Pusat Khidmat ADUN Galas dan Persatuan Kebajikan Asnaf Gua Musang itu diasingkan, dipilih dan dibungkus mengikut saiz sebelum diagihkan kepada penduduk.
“Setakat ini sebanyak 503 ketua isi rumah di Pos Balar dan Pos Hau telah menerima sumbangan itu,” katanya kepada pemberita selepas program pengagihan pakaian di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Ladoi, Anor Aznan, 46, berkata kampung berkenaan kali terakhir menerima kunjungan dan bantuan seumpama itu pada 2011.
Suri rumah yang memiliki 10 anak itu berkata sebelum ini mereka terpaksa ke bandar untuk membeli pakaian anak-anak, namun kerana tidak dapat membawa kesemuanya, saiz pakaian hanya dipilih berdasarkan anggaran.
“Pada hari ini pakaian yang saya terima mencukupi untuk kesemua anak termasuk untuk saya dan suami. Terima kasih kepada semua penyumbang dan rombongan kerana memberikan pakaian yang masih elok serta bersih kepada kami,” katanya.
-- BERNAMA