JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Program Senam Sihat MADANI Merdeka 2026 akan berlangsung serentak di 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara pada 29 Ogos sempena sambutan Bulan Kebangsaan dengan sasaran penyertaan lebih 50,000 orang.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed berkata penganjuran program itu turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan secara serentak menerusi rangkaian NADI.
Beliau berkata program itu akan menghimpunkan komuniti melalui aktiviti kecergasan yang mempromosikan gaya hidup sihat, kebersamaan dan semangat perpaduan.
“Kita mahu melihat gambaran yang cukup bermakna, iaitu dari Johor hingga ke Perlis (dan) Sabah hingga Sarawak, rakyat Malaysia bergerak bersama-sama untuk kesihatan dan kesejahteraan,” katanya ketika berucap melancarkan Program Senam Sihat MADANI bersempena Program MADANI Kita (PMK) Larkin di sini hari ini.
Aminurrahim berkata program itu antara inisiatif di bawah teras Kesejahteraan Kendiri dalam Perkhidmatan Pintar NADI yang menggalakkan komuniti membudayakan gaya hidup aktif serta menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 137,254 peserta dari seluruh negara telah mengikuti program di bawah teras Kesejahteraan Kendiri.
Di Johor Bahru sahaja, Aminurrahim berkata sebanyak 245 peserta telah menerima manfaat program itu serta aktiviti saringan kesihatan yang dilaksanakan melalui NADI setakat ini.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkasakan kesejahteraan komuniti turut diketengahkan menerusi PMK Larkin.
Beliau berkata pelbagai perkhidmatan percuma kepada masyarakat disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan asas dan pergigian serta saringan risiko kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Aminurrahim berkata kemudahan itu disediakan bagi membantu meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat dan menggalakkan pengesanan awal risiko kesihatan agar tindakan susulan dapat diambil lebih awal.
PMK Larkin menjadi lokasi ketiga siri penganjuran Program MADANI Kita yang diselaraskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi NADI, iaitu selepas Permatang Pauh serta Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Penganjuran program seperti itu memperlihatkan peranan NADI yang semakin berkembang sebagai platform komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses digital, malah menyokong pelaksanaan inisiatif bermanfaat secara langsung kepada rakyat pada peringkat akar umbi.
-- BERNAMA