Am 16/08/2026 03:36 PM

Masyarakat, NGO Perlu Sama-sama Bantu Golongan Rentan - KP JKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Masyarakat, NGO Perlu Sama-sama Bantu Golongan Rentan - KP JKM
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berucap pada Majlis Perasmian Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Program Ritma Kehidupan Harmoni (RYTHM) Zon Tengah hari ini.

KLANG, 16 Ogos (Bernama) -- Tanggungjawab menjaga kebajikan golongan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit terlantar tidak boleh diletakkan kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya turut memerlukan penglibatan menyeluruh masyarakat.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata peningkatan bilangan jumlah mereka yang memerlukan sokongan sosial saban tahun menunjukkan keperluan memperkukuh pendekatan penjagaan secara kolektif yang turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata pendaftaran golongan OKU aktif di seluruh negara mencatat peningkatan daripada 814,966 pada tahun lepas kepada 849,775 setakat Jun 2026, manakala bilangan kanak-kanak autistik berdaftar meningkat daripada kira-kira 10,000 pada 2015 kepada 89,000 pada tahun ini.

Selain itu, katanya, jumlah penerima bantuan kewangan yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah 636,232 orang sepanjang 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini melibatkan 568,103 penerima.

“Oleh itu, tanggungjawab berkenaan tidak boleh diletakkan kepada satu agensi atau JKM sahaja. Masyarakat (diajak) untuk sama-sama mengembleng bahu, berganding tenaga dalam kita bersama membantu mereka yang memerlukan ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas merasmikan penganjuran Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU Bagi Zon Tengah bersempena dengan Program RYTHM-Ritma Kehidupan Harmoni di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim.

Che Murad Sayang berkata cabaran penjagaan turut dirasai secara langsung oleh keluarga yang menjaga pesakit terlantar, khususnya dari segi keupayaan fizikal, kemahiran serta kewangan apabila penjaga terpaksa memberikan perhatian sepenuh masa sehingga tidak dapat bekerja.

Beliau berkata bantuan kewangan yang diberikan kepada penjaga juga tidak semestinya mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan kerana kos penjagaan turut melibatkan pembelian lampin, ubat-ubatan, peralatan serta susu khas.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pendekatan kebajikan perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan semata-mata dengan menyediakan latihan, kemahiran dan peluang yang membolehkan golongan memerlukan serta penjaga mereka membina kehidupan yang lebih berdaya tahan.

Untuk itu, Che Murad Sayang berkata seminar yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu memberikan tumpuan kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran asas dan kesedaran masyarakat dalam aspek penjagaan holistik, kesejahteraan emosi serta sokongan komuniti terhadap warga emas dan OKU.

Sementara itu, Program RYTHM-Ritma Kehidupan Harmoni ialah inisiatif strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi bertujuan memperkasakan penglibatan komuniti, sukarelawan dan generasi muda dalam memperkukuh sistem sokongan sosial negara.

Program berkenaan menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada penjaga warga emas dan OKU, penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sukarelawan, belia, pelajar institusi pengajian tinggi, NGO, pegawai JKM serta masyarakat setempat dari Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Antara pengisian program termasuklah perkongsian ilmu berkaitan asas penjagaan warga emas dan OKU, pengurusan tekanan emosi penjaga, aspek keselamatan dan penjagaan harian serta pengukuhan sistem sokongan komuniti serta simulasi terus kaedah untuk mengurus pesakit.

Che Murad Sayang berkata pendekatan sedemikian penting bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang, selain memastikan penjaga turut mendapat pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam mengurus golongan rentan.  

-- BERNAMA