Politik 16/08/2026 12:24 PM

Kedudukan DAP Dalam Kerajaan Akan Dibuat Secara Kolektif Oleh Perwakilan - Loke

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kedudukan DAP Dalam Kerajaan Akan Dibuat Secara Kolektif Oleh Perwakilan - Loke
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Keputusan sama ada kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan akan dibuat secara kolektif oleh perwakilan pada Persidangan Kebangsaan DAP hari ini, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata keputusan besar berkenaan wajar dibuat secara kolektif oleh lebih 4,000 perwakilan yang hadir dan bukannya diputuskan oleh 40 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sahaja.

“Kita telah berbincang dalam CEC dan diputuskan supaya kita serahkan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada parti terus berada dalam Kerajaan Persekutuan atau tidak. (Jadi), para perwakilan kena buat satu keputusan kolektif untuk parti.

“Sebagai parti yang berada dalam kerajaan, sudah tentu ada kekangan dan kelemahan tertentu yang perlu ditanggung secara bersama. Oleh itu, pimpinan menyerahkan kepada para perwakilan untuk menilai sama ada kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh atau memainkan peranan sebagai pressure group," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Tan Kok Wai, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming serta seluruh pimpinan DAP.

Dalam pada itu, Loke mengakui DAP masih berdepan dengan cabaran dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu, susulan kekalahan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, baru-baru ini.

Beliau berkata pencalonannya di kawasan majoriti Melayu itu bukanlah bertujuan mengejar kemenangan peribadi, sebaliknya untuk membuktikan bahawa DAP mampu mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum termasuk di kawasan majoriti Melayu.

“Saya tidak dapat mempertahankan kerusi DUN Chennah. Saya mohon maaf kepada para perwakilan atas kekalahan itu. Saya bertanding bukan untuk kemenangan peribadi. Saya bertanding walaupun sukar kerana mahu membuktikan DAP boleh mendapat sokongan pengundi pelbagai kaum dan kita boleh menang di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 julung-julung kali diadakan di Putrajaya.

-- BERNAMA