MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan buku Temu Fikrah yang digarap oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026.
Buku setebal 113 muka surat itu ialah hasil garapan Ketua AMK Muhammad Kamil Ahmad Munim bersama-sama Exco AMK Ashraf Ahmad Hadi, yang memuatkan kandungan tentang pemikiran baharu pergerakan itu dalam mendepani cabaran.
Anwar, menerusi kata pengantar naskhah berkenaan, berkata penerbitan buku itu hadir pada waktu yang tepat ketika gagasan Malaysia MADANI diangkat sebagai kerangka pemikiran dan hala tuju pentadbiran negara.
Beliau mengingatkan bahawa ikhtiar tersebut bukanlah sekadar retorik teknokratik atau slogan politik bermusim, sebaliknya satu tajdid peradaban untuk memanusiakan semula pembangunan negara.
"MADANI mengimbangi antara kemajuan fizikal dengan kebersihan jiwa, serta mempasakkan prinsip keadilan, ihsan, kemampanan dan hormat dalam urus tadbir negara," kata beliau.
Anwar turut mengingatkan anak muda, khususnya ahli AMK bahawa kuasa yang dipegang hari ini ialah satu amanah yang berat serta ujian ketakwaan dan kepatuhan moral, bukannya tempat untuk beristirahat atau meraikan kejayaan kosmetik.
Perdana Menteri berkata tugas membina semula negara yang terkesan akibat kezaliman serta ketirisan masa lepas memerlukan daya cipta, keberanian fikiran dan daya tahan spiritual yang luar biasa daripada generasi muda.
Dalam pada itu, Anwar menyambut baik penerbitan buku berkenaan sebagai manifestasi pencerahan pemikiran dan berharap naskhah itu tidak sekadar dibaca, tetapi dihayati serta diterjemahkan dalam bentuk amalan khidmat kepada rakyat pada peringkat akar umbi.
Temu Fikrah ialah sebuah naskhah pengkaderan AMK yang mengajak ahli menginsafi sejarah perjuangan, memahami asas dan idealisme parti serta menghayati makna reformasi.
Bermula daripada sejarah kebangkitan gerakan reformasi dan kelahiran PKR, buku itu turut menghuraikan prinsip keadilan, kerangka dasar, perjuangan anak muda serta nilai ihsan dan kemanusiaan.
Temu Fikrah diharap menjadi panduan dalam membentuk ahli yang berilmu, berprinsip dan teguh meneruskan amanah perjuangan.
-- BERNAMA