KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 2,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat membanjiri ibu kota pagi ini bagi menjayakan Program Integrity Fun Walk (IFW) 2026 yang bermatlamat menyemai budaya integriti, menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata penganjuran program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai maksud dan kepentingan integriti selain menggalakkan mereka mengamalkan nilai tersebut dalam kehidupan seharian.
“Integriti bermaksud melakukan sesuatu yang baik tanpa dilihat orang,” katanya yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) kepada Bernama selepas merasmikan IFW 2026 di sini hari ini.
Acara yang bertemakan “Melangkah Bersama, Memacu Integriti” melibatkan penyertaan warga kerja kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, badan berkanun, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Program anjuran IIM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Sukarelawan Siswa melibatkan laluan sejauh tiga dan lima kilometer serta dimeriahkan dengan Pertandingan Mesej Integriti dan cabutan bertuah.
Peserta Suzana Ahmad, 58, berkata program itu memberi peluang kepada peserta untuk menghayati nilai integriti melalui aktiviti santai bersama-sama masyarakat, selain membawa mesej integriti untuk diamalkan di tempat kerja.
“Usaha membudayakan integriti dalam organisasi yang mempunyai pekerja yang ramai memerlukan penglibatan lebih ramai individu sebagai ejen yang membantu melaksanakan nilai tersebut,” katanya yang berkhidmat di Menara Merdeka Maybank 118.
Penjawat awam Mohd Ridhaudeen Rahmat, 48, menyifatkan penyertaan dalam IFW 2026 sebagai pengalaman menyeronokkan kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga sambil menyokong agenda nasional.
“Saya berharap program seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap dan dipromosikan secara lebih meluas kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Selain aktiviti berjalan santai, peserta berpeluang menyertai Pertandingan Mesej Integriti, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang program.
Program itu turut menerapkan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pemberian penyertaan percuma kepada persatuan anak kurang upaya selain memberikan sijil penghargaan kepada agensi yang mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi.
-- BERNAMA