Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Ada impian yang menuntut seseorang meninggalkan apa yang sudah dimilikinya sebelum mengejar sesuatu yang belum pasti.
Bagi Aiman Abu Bakar, 34, meninggalkan dunia bola sepak, berhijrah ke Filipina dan bertahun-tahun berjauhan daripada keluarga menjadi harga yang sanggup dibayarnya demi mengejar impian yang dipendam sejak kecil, iaitu bergelar juara dunia dalam arena tinju profesional.
Bekas pemain bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan itu membuat keputusan berani untuk berhijrah ke Filipina pada 2014, ketika kerjaya dalam bola sepak mula ditinggalkan demi memberi sepenuh tumpuan kepada sukan yang diminatinya.
Ketika itu, peluang mengembangkan kerjaya dalam arena tinju profesional tempatan yang agak terhad turut mendorongnya mencabar diri di negara yang mempunyai tradisi kuat dalam sukan berkenaan.
“Saya mahu mencabar diri, tinggal dengan mereka, berlatih dengan mereka dan memahami cara mereka berfikir serta apa yang menjadi motivasi mereka dalam tinju. Walaupun kehidupan di Filipina banyak berkisar antara gim dan latihan, suasana di situ membuatkan saya berasa seperti berada di rumah sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini
Pengorbanan itu mula membuahkan hasil apabila rentetan kemenangan yang dicatatkannya membuka jalan kepada pertemuan dengan pengatur perlawanan tinju terkemuka dari Amerika Syarikat, Sean Gibbons.
Pertemuan itu membawa Aiman ke pentas lebih besar apabila beliau diberi peluang beraksi dalam acara “undercard” pertarungan Manny Pacquiao menentang Lucas Matthysse di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 2018, sekali gus menjadi penampilan pertamanya di tanah air selepas empat tahun menetap di luar negara.
Namun, perjalanan itu tidak sentiasa mudah apabila pandemik COVID-19 menjejaskan aktiviti pertandingan dan perjalanan antarabangsa, menyebabkan Aiman perlu membina semula momentum kerjayanya selepas kembali aktif pada 2022.
Sejak itu, Aiman memperkemas persiapannya dengan menjalani kem latihan selama 12 minggu sebelum setiap pertarungan, meliputi latihan kekuatan, kecergasan dan teknik tinju, selain kawalan pemakanan serta berat badan dengan bimbingan pakar nutrisi.
“Sepanjang tempoh itu, saya berlatih enam hari seminggu dengan dua sesi sehari. Rutin pagi biasanya melibatkan latihan kekuatan dan kecergasan seperti angkat berat, berbasikal atau berlari sebelum kembali ke gim untuk latihan tinju selama kira-kira dua setengah hingga tiga jam.
“Kadang-kadang kita tak ada mood, badan sakit ataupun hujan, tetapi kita tetap kena buat. Bagi saya, disiplin dan mentaliti yang kuat akan membuatkan kita tetap pergi ke gim dan berlatih,” katanya yang menjadikan Manny Pacquiao, Roberto Durán, Julio César Chávez dan Terence Crawford sebagai idola.
Namun, bagi Aiman yang juga adik kepada penyanyi dan penulis lagu Ariff AB, cabaran terbesar bukan semata-mata di dalam gelanggang tetapi juga di luarnya, termasuk soal kewangan, sokongan dan kesunyian yang perlu ditanggung ketika membina kerjaya jauh daripada keluarga.
Namun, kecintaan terhadap tinju membuatkannya terus bertahan dan usaha itu membuahkan hasil apabila Aiman, yang beraksi dalam kategori super featherweight, kini memiliki rekod profesional 13 kemenangan, dua kekalahan dan satu seri, selain pernah memegang gelaran WBC Asia Silver Super Featherweight Champion pada Ogos 2024 sebelum meraih gelaran WBC Asia Super Featherweight Champion pada April lepas.
Aiman yang kini berada di kedudukan ke-36 dunia masih memasang impian untuk memburu gelaran dunia, namun menyedari perjalanan ke pentas itu memerlukan pasukan berpengalaman serta sokongan penajaan yang kukuh.
Kini, selepas lebih sedekad membina kerjaya dalam dunia tinju profesional, Aiman menyedari laluan ke gelaran dunia memerlukan pasukan berpengalaman, persiapan lebih rapi serta sokongan penajaan yang kukuh.
“Menjadi rakyat Malaysia dan bertarung di luar negara memberi saya kekuatan. Saya akan lakukan apa sahaja yang saya mampu untuk negara dan membawa bendera Malaysia setiap kali saya bertarung,” katanya yang turut berharap lebih banyak platform diwujudkan bagi memberi peluang kepada bakat baharu membina kerjaya dalam arena tinju profesional.
-- BERNAMA