KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Harga tiket serendah RM200 bagi rakyat Malaysia untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2-4 Okt ini merupakan satu tawaran yang amat berbaloi.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC Datuk Razlan Razali berkata harga istimewa Tiket MADANI untuk pemegang MyKad itu memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyaksikan acara sukan permotoran bertaraf dunia, terutama selepas sembilan tahun F1 tidak dilangsungkan di negara ini.
“Ini adalah satu acara yang luar biasa dan untuk rakyat Malaysia memang bagus. Alhamdulillah PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) dapat umumkan Tiket MADANI (serendah) RM200 kerana kita pun tidak tahu bila lagi Malaysia akan menganjurkan kembali F1,” katanya kepada Bernama.
Razlan berkata sambutan luar biasa terhadap jualan tiket GP Bahrain di Malaysia tidak mengejutkan memandangkan perlumbaan F1 kembali ke Malaysia setelah kali terakhir dianjurkan pada 2017, selain kemunculan peminat baharu yang mengenali sukan itu menerusi siri dokumentari popular Netflix “Formula 1: Drive to Survive”.
Mula ditayangkan pada 2019, siri dokumentari itu menawarkan kepada peminat sesuatu yang jarang mereka saksikan sebelum ini menerusi gambaran di sebalik tabir kehidupan dalam F1 sehingga berjaya menarik jutaan khalayak baharu ke dalam dunia sukan permotoran tersebut.
Awal hari ini, Anwar berkata harga tiket serendah RM200 kepada pemegang MyKad itu susulan pertimbangan kerajaan beberapa minggu lepas untuk menawarkan Tiket MADANI bersempena dengan perlumbaan F1 Okt ini.
Menurut maklumat yang diterbitkan di laman web rasmi Bahrain GP baru-baru ini, pemegang MyKad layak mendapatkan harga istimewa bagi enam kategori tempat duduk dengan harga antara RM200 hingga RM 2,083.
Pilihan paling berpatutan ialah Hillstand G pada harga RM200, manakala tiket bagi Hillstand B dan C masing-masing berharga RM809.60.
Bagi tempat duduk di grandstand pula, tiket berharga RM1,291.40 untuk Grandstand F, RM1,386 (Grandstand K1) dan RM2,083.40 (Grandstand Utama).
Sementara itu, harga untuk peminat asing pula jauh lebih tinggi, dengan tiket untuk tiga hari yang disenaraikan di laman sesawang berharga USD 565.40 bagi Grandstand Utama, USD 376.20 (Grandstand K1) dan USD 350.90 (Grandstand F), manakala tiket bagi Hillstand B dan C masing-masing USD 220.
Grandstand Utama, K1 dan F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan berbumbung, manakala Hillstands B, C dan G merupakan kawasan berumput dan terbuka.
Ditanya sama ada sambutan luar biasa itu memberi isyarat positif kepada Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan F1 pada masa depan, Razlan berkata penganjuran semula acara sukan permotoran berprestij itu perlu dimanfaatkan lebih menyeluruh dengan menarik pelancong asing untuk tinggal lebih lama di dalam negara.
“Ia lebih daripada hanya penonton datang ke litar. Kita perlu fikir bagaimana perlu memaksimumkan acara ini untuk tiga hari ataupun untuk lima hari.
“Untuk menarik penonton luar negara datang ke Malaysia bukan hanya tiga hari, sebaliknya lima ataupun tujuh hari bercuti dan berbelanja di Malaysia. Kita juga boleh menganjurkan acara sampingan seperti forum perniagaan atau pelaburan yang sedikit sebanyak boleh menyemarakkan acara F1 di sini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu melihat model Singapura yang menganjurkan perlumbaan F1 sejak 2008 dan sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus daripada apa yang dilakukan negara jiran itu seperti konsert dan pameran sebelum pelaburan semula untuk sukan permotoran boleh dianggap berbaloi.
Dalam pada itu, pemerhati sukan tempatan Datuk Pekan Ramli berkata selain harga Tiket MADANI yang berpatutan, tawaran harga tiket dijual kepada warga asing juga amat baik.
“Walaupun ini bukan GP kita, Malaysia juga dijangka dapat pulangan dari segi perbelanjaan oleh penonton termasuk hotel dan pengangkutan, selain perlumbaan ini juga dapat menaikkan imej Malaysia dalam penganjuran acara sukan permotoran,” katanya.
Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengumumkan GP Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC dari 2-4 Okt ini, menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.
GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April, sebelum ditangguhkan ke bulan Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan dalam kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.
-- BERNAMA