MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Kehadiran Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta pimpinan gabungan itu ke Kongres Nasional PKR 2026 mencerminkan hubungan dan semangat kerjasama baik antara kerajaan negeri itu dan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata kerjasama yang terjalin bukan terhad kepada politik semata-mata bahkan meliputi segenap aspek.
“Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan dapat diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas yang lebih baik serta penyelesaian terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan seimbang dengan mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah termasuk Sabah.
Beliau berkata PKR juga akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dalam kerangka Persekutuan yang adil selain menghormati kedudukan serta keistimewaan Negeri Di Bawah Bayu.
Dalam pada itu, Mustapha turut menghargai kehadiran Hajiji dan pimpinan GRS sebagai jemputan khas.
Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang serta Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Mohd Razali Mohd Razi serta ADUN Balung Syed Ahmad Syed Abas.
"Kehadiran mereka ke Kongres Nasional PKR membawa mesej bahawa perbezaan parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita duduk bersama serta membina persefahaman apabila melibatkan kepentingan Sabah dan rakyatnya," kata Mustapha.
Terdahulu, Anwar, yang juga Presiden PKR, merasmikan kongres berkenaan yang bertemakan "Memugar Reformasi, Membina MADANI" di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini.
-- BERNAMA