SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) bukan mahu mencipta rekod semata-mata, sebaliknya membuka jalan kepada melahirkan sebuah generasi yang lebih berani dan berkeyakinan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sukan menemukan manusia daripada latar belakang yang berbeza dan mengajar individu bersaing tanpa kehilangan rasa hormat.
“Sukan membuktikan bahawa kemenangan memerlukan disiplin manakala kekalahan menuntut keberanian untuk bangkit semula.
“Di gelanggang, kita mungkin membawa warna negeri yang berbeza tetapi kita berdiri atas nilai yang sama iaitu keberanian, ketekunan, integriti, rasa hormat dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya berucap pada majlis perasmian SUKMA 2026 dan Para SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam ini.
Perasmian berkenaan disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Amirudin berkata selepas 28 tahun menanti, “kepulangan” SUKMA ke Selangor bukan sekadar tentang negeri itu menjadi tuan rumah sekali lagi.
“Ia membawa suatu amanah dan tanggungjawab yang lebih besar untuk menyediakan pentas terbaik kepada generasi muda Malaysia bagi mencabar kemampuan diri, mengasah bakat dan membina keyakinan bahawa mereka mampu melangkah lebih jauh," katanya.
Beliau berkata pemilihan Dataran Kemerdekaan sebagai lokasi perasmian bertujuan membawa kemeriahan temasya lebih dekat dengan rakyat, selain mencerminkan Selangor sebagai sebuah negeri yang progresif dan inklusif.
Amirudin berkata Para SUKMA turut diberi kepentingan yang setaraf dalam penganjuran kali ini kerana kecemerlangan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan siapa yang berdiri paling tinggi di atas podium.
"Atlet Para menunjukkan kepada kita bahawa keupayaan manusia tidak boleh dinilai hanya melalui batas fizikal. Mereka membuktikan bahawa ketekunan, keberanian dan kekuatan jiwa mampu membawa seseorang jauh melampaui apa yang pernah dianggap mustahil," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Najwan Halimi serta seluruh pasukan petugas, sukarelawan dan ibu bapa yang menjadi tulang belakang di sebalik pengorbanan serta latihan panjang setiap atlet.
Edisi ke-22 itu bakal menyaksikan persaingan lebih 5,000 atlet muda dari seluruh negara memburu 468 pingat emas menerusi 37 jenis sukan yang dipertandingkan hingga 24 Ogos ini.
Pada edisi lepas, Sarawak muncul juara temasya dwitahunan kebangsaan itu selepas merangkul 76 pingat emas, Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 75 emas manakala Selangor menduduki tempat ketiga dengan 56 emas.
-- BERNAMA