Am 16/08/2026 12:21 AM

Perasmian SUKMA 2026 Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam Berlangsung Meriah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perasmian SUKMA 2026 Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam Berlangsung Meriah
Upacara menaikkan bendera Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung penuh simbolik pada Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2026 berlangsung penuh meriah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam ini.

Selepas 28 tahun Selangor kembali menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah kepada temasya dwitahunan itu yang diharap terus menjadi medan melahirkan permata sukan negara yang bakal digilap menjadi jaguh dunia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam suasana penuh semangat.

Turut hadir menyaksikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan dif kenamaan.

Edisi ke-22 itu bakal menyaksikan persaingan lebih 5,000 atlet muda dari seluruh negara memburu 468 pingat emas menerusi 37 jenis sukan yang dipertandingkan hingga 24 Ogos ini.

Upacara perasmian dimulakan perarakan masuk 15 kontinjen bermula dengan Johor dan diakhiri tuan rumah, Selangor, berlangsung meriah di hadapan ribuan penonton yang hadir bagi menyaksikan detik bersejarah itu. 

Majlis kemudian diteruskan dengan acara tradisi menaikkan bendera SUKMA oleh tujuh anggota dari Markas Pangkalan Lumut sebagai lambang persahabatan temasya, disusuli dengan bacaan ikrar oleh atlet boling muda, Muhammad Aiman Syahin Sulaiman.

Kemuncak majlis menyaksikan perarakan obor SUKMA Selangor 2026 yang dibawa ikon kelahiran negeri ini iaitu Timbalan Presiden Akuatik Malaysia Marilyn Chua yang juga bekas perenang negara yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Sydney, diiringi bekas atlet gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi dan perenang negara Andrew Goh.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan dan artis tempatan antaranya Azlan & The Typewriters serta Balan Kash yang mempersembahkan lagu rasmi SUKMA Selangor 2026 berjudul ‘Rentak Kita Aksi Kita’. 

Turut menghiburkan ribuan penonton ialah penyanyi popular Jaclyn Victor dan Nadeera Zaini selain persembahan Caliph Buskers serta Ayai Ilusi yang terus memeriahkan suasana pembukaan temasya.

Pada edisi lepas, Sarawak muncul juara selepas merangkul 76 pingat emas, Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 75 emas , manakala Selangor menduduki tempat ketiga dengan 56 emas.

-- BERNAMA