ALOR GAJAH, 15 Ogos (Bernama) -- Lebih 12,000 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima manfaat penaiktarafan infrastruktur digital menerusi penyediaan 410 titik capaian (AP) Wi-Fi serta sebuah menara komunikasi 4G baharu di universiti itu.
Inisiatif Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dijangka memperkukuh ketersambungan digital warga kampus, khususnya bagi menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan latihan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
MCMC memaklumkan daripada keseluruhan 410 AP yang dirancang, sebanyak 108 AP mula beroperasi sejak Jun 2025 menerusi Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Fasa 2, manakala 302 AP tambahan sedang dilaksanakan menerusi Fasa 3 dan dijadualkan siap pada 23 Sept ini.
"Menara komunikasi 4G baharu turut dibangunkan di kawasan UTeM dan dijangka siap pada November ini dapat membantu memperkukuh liputan komunikasi serta meningkatkan kualiti dan pengalaman penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan warga kampus," menurut kenyataan MCMC hari ini.
Terdahulu, Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Ts Rizal Abd Malek mewakili Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil meninjau pelaksanaan projek berkenaan di UTeM.
Lawatan itu bertujuan melihat kemajuan penaiktarafan infrastruktur digital serta menilai keperluan ketersambungan warga kampus.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM Prof Dr Mohd Rizal Salleh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohd Sharif.
Menurut MCMC, sebagai universiti teknikal, capaian Internet yang stabil, pantas dan berkapasiti tinggi amat penting bagi menyokong penggunaan makmal pintar, perisian kejuruteraan berasaskan awan, simulasi digital serta pelbagai aplikasi pembelajaran yang menjadi sebahagian daripada ekosistem TVET moden.
"Penaiktarafan itu juga akan mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, di samping membolehkan pelajar dan tenaga pengajar memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran," menurut kenyataan itu.
Selain itu, usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC untuk memperkukuh ketersambungan digital di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selaras dengan keperluan pendidikan masa kini serta perkembangan teknologi yang semakin pesat.
MCMC memaklumkan ketersambungan digital yang lebih baik di institusi pendidikan bukan sahaja memudahkan akses kepada sumber pembelajaran, tetapi juga membantu menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengalaman digital yang relevan dengan keperluan industri.
Penaiktarafan infrastruktur digital di UTeM seterusnya dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem TVET negara, meningkatkan kesiapsiagaan graduan menghadapi perubahan teknologi serta menyokong pembangunan bakat digital dan teknikal yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA