MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Tatakelola dan etika kecerdasan buatan (AI) perlu diperkukuh bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab serta tidak disalah guna.
Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat/Pembangunan Industri Digital) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata aspek berkenaan perlu diterapkan dalam ekosistem pembelajaran AI bagi memastikan teknologi itu digunakan secara profesional dan bertanggungjawab.
"Ramai orang boleh guna AI tetapi pada masa sama, kita tak nak orang salah guna... pengguna perlu mengamalkan pendekatan profesional, justeru aspek tatakelola dan etika perlu menjadi sebahagian daripada pembelajaran AI bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Malaysia Digital (JMD) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim di sini hari ini.
Fadzli juga berkata MDEC bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk TikTok bagi memastikan platform digital itu tidak disalahgunakan untuk aktiviti jualan yang tidak sepatutnya.
“TikTok mesti mempunyai piawaian dan cara tertentu serta memastikan platform sedia ada tidak disalahgunakan… jadi, mereka berperanan sebagai ‘gatekeeper’,” katanya.
Beliau juga berkata JMD mengenal pasti lima lokasi untuk pelaksanaan program itu, dan Damansara Damai menjadi lokasi pertama minggu lepas diikuti Melaka hari ini manakala tiga lagi akan ditentukan kemudian.
Fadzli berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan, pelajar dan pekerja bebas yang berminat mempelajari teknologi terkini termasuk AI untuk membantu perniagaan, pembelajaran serta pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
"Usaha ini turut menyokong sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030 berbanding 25 peratus ketika ini.
"Bagi mencapai sasaran berkenaan, Kementerian Digital sedang memperkukuh platform digital termasuk dari aspek infrastruktur, bakat, keupayaan dan pengetahuan menerusi pelbagai program peningkatan kemahiran," katanya.
-- BERNAMA