KUALA TERENGGANU, 15 Ogos (Bernama) -- Persembahan Silat Muslihat Pongok oleh dua pesilat warga emas daripada Persatuan Seni Silat Muslihat Pongok Kampung Gong Tok Nasek menjadi tarikan utama program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 X Jago Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Terengganu Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata Silat Muslihat Pongok yang berasal dari Dungun ialah satu cabang atau seni persilatan yang jarang dipersembahkan pada mana-mana acara di negeri ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya mengambil langkah proaktif memperkenalkan kembali silat itu kepada masyarakat sempena program KMJG 2026 X Jago yang turut melibatkan penyertaan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Secara tradisinya Silat Muslihat Pongok banyak dipelajari dalam suasana tertutup seperti di rumah dan kawasan tepi pantai. Silat ini merupakan aliran yang lebih menumpukan kepada ‘buah’ atau teknik, tanpa unsur tari yang ketara.
"Walaupun langkahnya tampak bersahaja, ia mengandungi pelbagai makna tersirat. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan, JAPEN mengambil inisiatif mengetengahkan persembahan Silat Muslihat Pongok untuk tontonan masyarakat," katanya kepada pemberita pada program Konvoi KMJG 2026 X Jago Terengganu di Dataran Shahbandar hari ini.
Turut hadir Pengarah Penyiaran Terengganu Noriza Salleh dan Pengurus Besar Negeri Pos Malaysia Terengganu Zulkifly Mohd Noor.
Muhd Nor Aswadi berkata selain persembahan silat, KMJG X Jago turut diserikan dengan acara deklamasi sajak, persembahan artis Pentarama JAPEN dan agihan pelekat Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata konvoi KMJG 2026 X Jago Terengganu yang disertai 13 kenderaan bermula di Setiu dan tiba di Dataran Shahbandar pada 12.30 tengah hari sebelum berlepas ke lokasi terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketengah Jaya, Dungun pada 2.15 petang.
"Program ini turut melibatkan 36 Komuniti MADANI di tiga daerah. Setakat ini sambutan rakyat terhadap kempen 1 Jalur Gemilang 1 Rumah di Terengganu semakin baik dan menggalakkan," katanya.
-- BERNAMA