MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 3,210 premis makanan dan minuman di seluruh negara berdaftar sebagai pengusaha Menu RAHMAH setakat Julai lepas, meningkat berbanding 3,182 pendaftaran pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata peningkatan penyertaan itu membuktikan semakin ramai pengusaha makanan bersedia bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata penyertaan tertinggi direkodkan dalam kalangan peniaga gerai makanan atau medan selera dengan 1,016 pendaftaran, selain melibatkan restoran, penjaja, trak makanan dan bazar.
“Menu RAHMAH bukan sekadar satu program sementara, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan aspek kos sara hidup rakyat terus diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata tumpuan turut diberikan kepada kawasan yang mempunyai permintaan tinggi daripada masyarakat termasuk di Hentian Rehat dan Rawat (R&R).
Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh promosi Menu RAHMAH menerusi program Jom Cari Menu RAHMAH selain bekerjasama dengan lebih ramai pemain industri, persatuan peniaga dan pengusaha makanan bagi memperluas pilihan menu itu ke lebih banyak lokasi.
Dalam pada itu, Fuziah berkata Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) turut diperluas bagi memastikan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah dapat dibawa lebih dekat kepada rakyat.
Setakat Julai lepas, PJRM dilaksanakan sebanyak 19,322 kali, melebihi sasaran tahun ini sebanyak 17,500 pelaksanaan dengan merekodkan 25,486,997 transaksi di seluruh negara.
“Program ini menawarkan penjimatan kira-kira 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat dan melibatkan pelbagai barangan keperluan seperti ayam, ikan, telur, minyak masak, tepung, beras, sayur-sayuran, buah-buahan serta barangan keperluan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan PJRM meliputi kawasan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan, dengan tumpuan kepada kawasan berkeperluan tinggi dan komuniti yang memerlukan.
Sementara itu, Fuziah berkata Mini Karnival KPDN peringkat Melaka yang berlangsung selama tiga hari dari semalam dan berakhir esok, berjaya menghimpunkan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pameran, khidmat nasihat, padanan perniagaan, Menu RAHMAH dan PJRM.
Beliau berkata program itu turut menawarkan jualan pada harga berpatutan oleh 27 peniaga serta pelbagai aktiviti pentas, pertandingan dan kejohanan sukan elektronik (E-Sports) dengan kerjasama Todak.
“Program ini menerima sambutan amat menggalakkan apabila hampir 3,000 pengunjung direkodkan hadir semalam dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada hari ini serta hari terakhir program esok,” katanya.
-- BERNAMA