Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 15 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 2,000 penduduk dipindahkan oleh pihak berkuasa manakala yang lain berpindah ke tempat selamat atas inisiatif sendiri susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada awal pagi Sabtu.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Suar Pelita Panjaitan berkata kebanyakan penduduk dipindahkan ke tempat selamat atau meninggalkan kediaman mereka susulan gegaran kuat dan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa utama.
Beliau berkata pihak berkuasa masih menilai sejauh mana kesan gempa bumi itu di seluruh kawasan terjejas.
Penilaian awal menunjukkan 54 rumah rosak teruk, sembilan mengalami kerosakan sederhana dan 11 rosak ringan, manakala lima kemudahan kesihatan, sebuah kemudahan pendidikan, tiga rumah ibadat, sebuah gudang milik agensi logistik makanan negara Bulog serta enam pejabat kerajaan turut terjejas, menurut jurucakap BNPB itu.
Beliau berkata Kabupaten Manggarai di Flores merekodkan kerosakan yang ketara dengan 29 rumah rosak teruk, sembilan mengalami kerosakan sederhana dan sembilan lagi rosak ringan, manakala Manggarai Timur merekodkan 23 rumah rosak teruk.
“Data impak masih dikumpulkan dan disahkan di lapangan. Badan pengurusan bencana daerah, tentera, polis, kerajaan tempatan dan agensi lain terus menilai kerosakan, mengesahkan angka korban, memantau keadaan serta menangani keperluan penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Gempa bumi itu berlaku pada 4.58 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa di laut kira-kira 30 kilometer (km) dari Mbay pada kedalaman 15 km.
Gempa itu mencetuskan amaran tsunami yang kemudian ditamatkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pada 7.31 pagi selepas pemerhatian paras laut menunjukkan tiada peningkatan ketara selanjutnya.
Terdahulu, Pejabat Mencari dan Menyelamat Maumere memaklumkan angka korban akibat gempa bumi itu dan beberapa kejutan lanjur kuat meningkat kepada 20 orang, dengan enam cedera dan dua lagi masih terperangkap, menurut laporan media.
Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan Ketua Stesen Geofizik Kupang Arief Tystama berkata BMKG merekodkan 111 kejutan lanjur setakat 10 pagi Waktu Indonesia Tengah, dengan aktiviti seismik masih berterusan dan kejutan lanjur terbaharu bermagnitud 3.8.
Agensi berita nasional itu turut melaporkan sebanyak 200 tapak stesen pangkalan penghantar-terima (BTS) di 10 kabupaten dan bandar di NTT dikenal pasti mengalami gangguan setakat 7 pagi waktu tempatan, memetik Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ketua Pengarah Infrastruktur Digital kementerian itu Wayan Toni Supriyanto berkata tapak yang terjejas mewakili 16.35 peratus daripada keseluruhan tapak BTS di kawasan terjejas, sambil menambah kementerian sedang menyelaras dengan pengendali mudah alih untuk memulihkan perkhidmatan.
-- BERNAMA