SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Dua beradik, Putri Nurrafqistina Damia Md Roshidi dan Muhammad Rafiqqie Danish, cemerlang menghadiahkan dua pingat emas buat kontinjen Perlis pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas masing-masing menjuarai kategori kyorugi wanita bawah 73 kilogram (kg) dan lelaki bawah 74kg dalam acara taekwondo hari ini.
Pada aksi final di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Putri Nurrafqistina Damia,18, tidak berdepan masalah menewaskan wakil Terengganu Fu Chervyn 2-0.
Ini pingat emas keduanya di temasya SUKMA selepas meraih pingat emas pada edisi lepas di Sarawak dalam kategori bawah 46kg.
“Saya sangat gembira dapat memenangi pingat emas untuk Perlis,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Mengulas mengenai pertukaran kategori, Putri Nurrafqistina Damia berkata keputusan itu dibuat sekadar untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya fikir kategori tinggi lebih mudah tetapi sebenarnya agak sukar. Bagaimanapun, saya gembira kerana menang dan membanggakan ibu bapa serta pasukan kejurulatihan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Rafiqqie Danish, 21, tidak berdepan masalah menewaskan lawannya B. Arun Raj dari Terengganu 2-0 untuk menghadiahkan emas kedua Perlis.
-- BERNAMA