Am 15/08/2026 08:03 PM

SUKMA 2026: Rayqal Hadiah Emas Pertama Skuad Judo Kelantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKMA 2026: Rayqal Hadiah Emas Pertama Skuad Judo Kelantan
Atlet Kelantan, Muhammad Rayqal Hakimi Rosli (kanan) merangkul pingat emas selepas menewaskan atlet Terengganu, Muhammad Firhan Iman Mohd Faizal pada perlawanan akhir acara judo lelaki bawah 73 kilogram (kg) Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Atlet judo Kelantan, Muhammad Rayqal Hakimi Rosli melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama negeri itu dalam sukan berkenaan selepas menjuarai kategori bawah 73 kilogram (kg) hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, atlet berusia 16 tahun itu menewaskan Muhammad Firhan Iman Mohd Faizal dari Terengganu menerusi ippon (mata penuh) untuk mengesahkan pingat emas.

Ditemui selepas perlawanan, Rayqal mengakui tidak menyangka mampu muncul juara selepas kerana sebelum ini hanya meletakkan sasaran untuk mara ke final.

“Perasaan agak terkejut sebab tak jangka dapat menang pingat emas. Sebelum ini, dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan ada juga masuk final tetapi tidak pernah menang emas. 

“Bagi saya kemenangan ini permulaan yang baik untuk sukan judo Kelantan bagi melahirkan lebih ramai atlet judo berbakat,” katanya di sini hari ini.

Mengenai penglibatan dalam sukan tersebut, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu berkata dia mula mengenali dan tertarik dengan judo ketika berusia 13 tahun kerana ia membantu menurunkan berat badan,

“Pada awalnya saya tak pernah tahu judo ini macam mana. Bila ada kelas dan mereka buka pendaftaran kepada sesiapa yang berminat, saya fikir pasal nak kurus, jadi saya letak nama.

“Saya sertai judo ketika di tingkatan satu, masa itu berat 76kg dan sekarang saya kekalkan berat di bawah 73kg,” katanya yang berharap dapat mewakili Malaysia di Sukan SEA 2027.

Sementara itu, jurulatih judo Kelantan Muhamad Mazuan Zainal Abidin berbangga dengan kejayaan yang diraih anak buahnya itu.

Muhammad Mazuan tpercaya Rayqal mempunyai potensi untuk mengikut jejak langkah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2026, Amir Daniel Abd Majeed sekiranya terus menunjukkan perkembangan positif.

“Prestasi dan disiplinnya bagus, begitu juga pencapaiannya. Saya harap Rayqal akan terus maju dan mampu untuk menjadi seperti Amir Daniel,” katanya.

-- BERNAMA