Dunia 15/08/2026 07:23 PM

22 Stesen Oksigen Tidak Beroperasi Di Gaza Akibat Sekatan Israel - Kementerian Kesihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
22 Stesen Oksigen Tidak Beroperasi Di Gaza Akibat Sekatan Israel - Kementerian Kesihatan

BANDARAYA GAZA / ISTANBUL, 15 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 22 daripada 34 stesen oksigen di Semenanjung Gaza terpaksa dihentikan operasinya, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Sabtu, sambil menyatakan kemudahan selebihnya turut berdepan risiko sama berikutan sekatan Israel serta kekurangan alat ganti yang serius, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 12 stesen yang masih beroperasi kini berfungsi dalam "keadaan teknikal dan mekanikal yang amat rumit", sekali gus menyukarkan usaha memenuhi keperluan oksigen di kemudahan kesihatan dan penyedia perkhidmatan perubatan.

Ia turut menyatakan kapasiti operasi stesen berkenaan telah "merosot sepenuhnya" dan kini beroperasi melebihi kapasiti maksimum di tengah-tengah kerosakan yang semakin kerap berlaku.

Hanya empat daripada 30 peranti yang digunakan untuk mengisi tong oksigen masih boleh berfungsi, kata kementerian itu sambil memberi amaran bahawa peranti berkenaan "boleh berhenti pada bila-bila masa" kerana pasukan jurutera tidak dapat menjalankan penyelenggaraan kecemasan.

"Ketersediaan oksigen bukanlah satu kemewahan perubatan; ia merupakan talian hayat bagi banyak jabatan penting dan penyelamat nyawa," tegasnya.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa stesen yang tinggal berdepan risiko "lumpuh sepenuhnya", sekali gus mengancam bekalan oksigen ke hospital serta pesakit yang menerima rawatan di rumah.

Sehubungan itu, kementerian menggesa agar "saluran dibuka secara serta-merta dan terus" bagi membawa masuk alat ganti dan peralatan teknikal yang diperlukan untuk membaiki stesen berkenaan, selain penghantaran segera stesen oksigen baharu.

Amaran itu dikeluarkan selepas organisasi “Doctors Without Borders” (MSF) pada 12 Ogos menyatakan pihak berkuasa Israel terus menyekat kemasukan minyak enjin dan alat ganti yang diperlukan untuk mengendalikan generator hospital, ambulans serta kemudahan  penting lain, sekali gus meletakkan ribuan nyawa dalam risiko.

Dalam laporan terbaharunya pada Jumaat, Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memaklumkan lintasan sempadan Kerem Shalom kekal sebagai satu-satunya pintu masuk barangan yang beroperasi ke Gaza, manakala sekatan ke atas beberapa bekalan asas dan jenis peralatan masih berterusan.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terbaharu yang diterbitkan pada 11 Ogos meliputi tempoh hingga 31 Julai turut menunjukkan jurang besar dalam ketersediaan sumber dan perkhidmatan kesihatan di seluruh kemudahan perubatan Gaza.

Gencatan senjata telah dikuatkuasakan di Gaza sejak 10 Okt 2025, susulan perang oleh Israel yang mengakibatkan kemusnahan meluas terhadap sistem kesihatan dan infrastruktur di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU