Am 15/08/2026 07:45 PM

Harimau Malaya Perlu "Cederakan" Vietnam Di Cheras - Zakaria Rahim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Harimau Malaya Perlu
Zakaria Rahim

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Harimau Malaya perlu terlebih dahulu ‘mencederakan’ Vietnam pada aksi  separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras sebelum bertandang ke Hanoi, jika mahu membawa bekalan berharga untuk memburu tiket ke final. 

Pemerhati bola sepak tempatan Zakaria Rahim berkata strategi itu penting buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagi menampal kelompongan selepas ketiadaan tunggak utama skuad Harimau Malaya dalam berdepan Vietnam.  

Beliau berkata aksi separuh akhir pertama esok bukan sekadar medan untuk mencari kemenangan sebaliknya peluang emas buat skuad negara mencipta “luka” yang mampu memberi tekanan kepada Vietnam sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi pada 19 Ogos ini. 

Zakaria berkata Malaysia tidak semestinya perlu menang besar namun kelebihan yang diraih di laman sendiri amat penting kerana suasana di Hanoi dijangka jauh lebih mencabar untuk bertemu Vietnam yang digelar The Golden Star Warriors 

“Ini bukan 90 minit tetapi 180 minit... kita main 90 minit di Malaysia dan kemudian pergi ke My Dinh di Hanoi... jadi, sebelum pergi ke Hanoi, kita perlu ‘cederakan’ Vietnam... saya tak kata kita perlu menang besar tetapi kita perlu ‘cederakan’ mereka sebelum mereka sambut kita di Hanoi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Hanoi ialah antara gelanggang paling sukar untuk pasukan lawan berikutan sokongan penyokong Vietnam yang fanatik dan mampu membakar semangat pemain tuan rumah.

Zakaria berkata beliau sendiri pernah berada di Hanoi ketika Malaysia menentang Vietnam, dan menyaksikan sendiri bagaimana penyokong tuan rumah memainkan peranan yang besar dalam membentuk tekanan terhadap pasukan lawan.

“Penyokong mereka sangat fanatik... pemain pula bermain untuk penyokong dan mereka tahu penyokong mahukan kemenangan... sebab itu, Malaysia kena dapatkan sesuatu di Cheras terlebih dahulu... kalau kita pergi ke Hanoi tanpa kelebihan, kita akan berdepan masalah besar,” katanya.

Namun, beliau berkata cabaran Harimau Malaya bukan kecil apabila turun tanpa sebahagian besar tonggak utama dengan pilihan pemain yang amat terhad, dan situasi itu menjadikan tugas Cheng Hoe lebih sukar terutama selepas skuad negara dilaporkan hanya mempunyai sekitar 16 pemain yang menjalani latihan.

“Cheng Hoe memang pening kepala... dia mahu lawan Vietnam, pasukan yang keras, kemudian ada dua perlawanan di KL dan My Dinh... pilihan pemain sangat terhad... jadi, siapa yang ada, itulah yang perlu digunakan,” katanya.

Antara pemain kebangsaan yang tidak dapat beraksi ialah Endrick Dos Santos, Jimmy Raymond, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Engku Shakir Engku Yacob (yang diketepikan akibat kecederaan) manakala Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal kembali ke kelabnya, iaitu Sporting Jax yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan Harimau Malaya supaya tidak membiarkan jentera Vietnam mendapat rentak terutama tiga pemain yang dianggap mampu mencetuskan ancaman, iaitu Nguyen Xuan Son, kapten Nguyen Quang Hai dan Nguyen Hoang Duc.

“Jangan bagi Quang Hai ruang untuk bermain di belakang midfield Malaysia kerana itu bahaya... jangan bagi dia feed bola kepada Xuan Son... Hoang Duc pula jangan diberi ruang bergerak... tiga pemain ini perlu dijaga,” katanya.

Beliau turut menggesa pemain negara mengawal tempo permainan bagi mematahkan kelebihan Vietnam yang terkenal dengan kepantasan selain menutup ruang untuk mereka melakukan hantaran silang dan membina serangan.

Malaysia akan menentang Vietnam pada aksi pertama separuh akhir Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur esok sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik di Stadium My Dinh. 

-- BERNAMA