Dunia 15/08/2026 04:07 PM

Gempa Bumi Flores: Tiada Rakyat Malaysia Dilapor Terkesan - Kedutaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gempa Bumi Flores: Tiada Rakyat Malaysia Dilapor Terkesan - Kedutaan
-- Social Media/via REUTERS

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 15 Ogos (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, awal pagi Sabtu.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihaknya telah menghubungi rakyat Malaysia di NTT yang berdaftar dengan kedutaan serta pelancong Malaysia yang memaklumkan keberadaan mereka di wilayah itu.

“Pihak Kedutaan turut berhubung rapat dengan Kementerian Luar Indonesia bagi mendapatkan status semasa dan sehingga 12 tengah hari waktu tempatan, tiada laporan insiden melibatkan warganegara Malaysia,” menurut kedutaan dalam kenyataan.

Rakyat Malaysia yang terkesan dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian +62 813 8081 3036 atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.

Kedutaan turut merakamkan simpati kepada mereka yang terkesan dan berharap urusan pengendalian situasi di lapangan oleh pihak berkuasa Indonesia berjalan lancar.

Gempa bumi itu berlaku pada 4.58 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa di laut kira-kira 30 kilometer (km) dari Mbay pada kedalaman 15 km. Gempa itu turut mencetuskan amaran tsunami sebelum ditamatkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pada 7.31 pagi selepas pemantauan paras laut tidak menunjukkan peningkatan ketara selanjutnya.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan kira-kira 2,000 penduduk telah dipindahkan atau berpindah secara kendiri susulan gempa bumi yang melanda Pulau Flores itu.

Terdahulu, Pejabat Mencari dan Menyelamat Maumere dilaporkan memaklumkan angka korban akibat gempa bumi itu dan beberapa kejutan lanjur kuat meningkat kepada 20 orang, dengan enam cedera dan dua lagi masih tertimbus.

-- BERNAMA