SEPANG, 15 Ogos (Bernama) -- Warisan dan budaya masyarakat Orang Asli perlu terus dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Beliau berkata masyarakat Orang Asli merupakan sebahagian penting daripada wajah, jiwa dan sejarah Malaysia.
“Warisan Orang Asli ialah warisan Malaysia. Budaya Orang Asli ialah budaya Malaysia. Kisah masyarakat Orang Asli ialah sebahagian daripada kisah kita.
“Jangan sampai anak-anak kita mengenali budaya sendiri hanya melalui buku sejarah. Biarlah mereka membesar dengan rasa bangga bahawa mereka mempunyai bahasa, adat, seni, tradisi, cerita dan identiti yang unik serta bernilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Orang Asal di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini hari ini.
Kampung Orang Asli Kelinsing ialah Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.
Pada majlis itu, Abdul Halim merasmikan logo untuk kampung Orang Asli Jambu, Kelinsing dan Bakok selain menyerahkan Jalur Gemilang kepada komuniti setempat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2026.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus memperkukuh hubungan sesama komuniti.
“Kekuatan sebenar (komuniti) terletak pada hubungan sesama manusia. Jika jiran saling membantu, kampung akan kuat. Jika anak-anak muda menghormati orang tua, warisan akan terus hidup.
"Jika masyarakat dan kerajaan bekerjasama, pembangunan akan menjadi lebih bermakna. Jika seluruh rakyat bersatu hati, Malaysia akan terus maju, aman dan sejahtera,” katanya.
Abdul Halim turut mengingatkan masyarakat supaya menggunakan Internet dengan selamat serta meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan dalam talian.
“Kalau ada yang menjanjikan keuntungan luar biasa, hadiah yang tidak pernah kita sertai, pautan mencurigakan, atau meminta maklumat bank, berhenti dan semak dahulu. Jangan mudah percaya, berkongsi maklumat peribadi dan terpedaya dengan scammer (sindiket penipuan),” katanya.
-- BERNAMA