Politik 15/08/2026 05:34 PM

PKR Perkasa Penerangan, Komunikasi Sampaikan Mesej Kerajaan - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKR Perkasa Penerangan, Komunikasi Sampaikan Mesej Kerajaan - Fahmi
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fahmi Fadzil ditemu bual pemberita selepas melawat pusat media bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memperkasakan strategi khususnya dalam aspek penerangan dan komunikasi bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada masyarakat.

Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu diambil susulan beberapa usul dikemukakan perwakilan pada Kongres Nasional PKR 2026 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Hal ini penting (memperkasakan penerangan dan komunikasi). Kalau kita dengar, ramai yang mengatakan banyak daripada usaha dan pencapaian kerajaan, perkara-perkara yang bersifat makroekonomi mungkin belum dapat diterjemah dan dinikmati di peringkat ekonomi rumah tangga.

“Jadi ini antara mesej besar bagi saya dan Kementerian Komunikasi, dan juga selaku Ketua Penerangan serta Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bilik media sempena kongres berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa pandangan serta perubahan yang telah direncanakan berkaitan usul penerangan dan komunikasi itu akan disampaikan pada sesi penggulungan kongres esok.

“Saya juga mengambil sikap terbuka dan bukan sekadar mengambil maklum tetapi berterima kasih terutama kepada ketua-ketua Cabang yang menyatakan mereka berhasrat untuk memainkan peranan lebih besar sebagai penyalur maklumat.

“Memang sebelum ini pun ada tetapi mungkin mereka perlukan satu hubungan yang lebih formal untuk memastikan isu-isu di peringkat Parlimen dapat diketahui oleh kami di Putrajaya dan dapat diusahakan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil sikap merendah diri terhadap semua usul yang dikemukakan oleh setiap perwakilan dan akan melakukan perubahan bermula daripada pucuk pimpinan parti itu sendiri.

-- BERNAMA