Am 15/08/2026 08:27 PM

Isu Jerebu Rentas Sempadan Akan Dibincang Dalam Jawatankuasa ASEAN – Uggah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Isu Jerebu Rentas Sempadan Akan Dibincang Dalam Jawatankuasa ASEAN – Uggah
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Isu jerebu rentas sempadan di negeri ini perlu terus dibincangkan di peringkat ASEAN melalui Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi mencari penyelesaian terbaik, sekali gus mengurangkan impaknya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang mewakili Malaysia dalam jawatankuasa berkenaan akan mengusulkan cadangan untuk mendepani isu itu. 

“Kita perlu berhati-hati kerana kawasan seperti Kuala Baram sekiranya berlaku kebakaran hutan, asapnya akan menjejaskan Brunei...jadi semua isu berkaitan akan dibincangkan dalam jawatankuasa ini sebelum disalurkan kepada kementerian berkaitan.

“NRES akan membawa isu dan masalah yang kita hadapi serta mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata pihaknya telah menghantar permohonan untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) dan sedang meneliti masa yang sesuai untuk operasi berkenaan. 

Semalam, beliau dilaporkan berkata inisiatif OPA itu diambil bagi menghadapi fenomena cuaca panas dan kering berpanjangan yang berpotensi menjejaskan sumber bekalan air serta memburukkan keadaan jerebu di beberapa kawasan.

Sejak 8 Ogos lepas, jerebu rentas sempadan mula melanda beberapa kawasan di Sarawak susulan corak angin semasa yang membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.

Kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori sangat tidak sihat ialah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju dan Miri.

-- BERNAMA