Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kebaya yang lazimnya dipadankan dengan kain batik, kini tampil dengan kelainan apabila usahawan M. Vatsala Nair memilih untuk menggabungkan pakaian tradisional itu dengan sari, secara tidak langsung menyatukan dua budaya dalam satu ekspresi unik Malaysia.
Vatsala, 42, yang memberi nama “Kebayaree” kepada gabungan pakaian dua budaya itu berkata idea tersebut tercetus semasa mewakili negara dalam program keusahawanan wanita pada Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) di Filipina dan Indonesia pada tahun lepas.
“Pada dua acara itu, saya diminta memakai sesuatu yang mewakili negara. Saya gemar memakai sari, tetapi saya tertanya-tanya, bagaimana untuk mewakili Malaysia tanpa mengetepikan warisan India saya? dan ketika itu saya menggayakan sari dengan kebaya.
“Sari mewakili asal-usul manakala kebaya mewakili landskap budaya tanah air saya, dengan kedua-dua identiti itu menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Wanita yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu berkata memuat naik video cara beliau mengikat sari serta menggayakannya dengan kebaya yang kemudiannya tular dan mendapat reaksi pelbagai lapisan rakyat Malaysia.
Reaksi itu membuatkan beliau percaya Kebayaree yang bermula sebagai penyelesaian bagi urusan peribadinya mampu mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.
Vatsala bagaimanapun menegaskan Kebayaree bukan bermaksud mengubah suai pakaian tradisional, sebaliknya meneroka bagaimana dua pakaian tersebut boleh saling melengkapi sambil mengekalkan ciri unik masing-masing.
Walaupun konsep itu menerima beberapa komen negatif, beliau berkata jumlahnya kecil berbanding reaksi positif rakyat Malaysia yang berminat mengenakan gabungan itu sempena sambutan Hari Kebangsaan, acara kebudayaan, majlis rasmi dan perkahwinan atau semasa mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Kami masih mencari kaedah yang dapat memastikan sari boleh digayakan bersama-sama kebaya dengan lebih praktikal. Objektifnya adalah untuk menjadikan pakaian ini lebih kemas dan mudah dipakai serta sesuai untuk pelbagai bentuk badan tanpa menjejaskan elemen asas dua pakaian tersebut,” katanya.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Vatsala berharap Kebayaree dapat menjadi lebih daripada sekadar pakaian yang menarik perhatian, sebaliknya menggalakkan rakyat Malaysia melihat perbezaan budaya sebagai sesuatu yang boleh mengukuhkan, dan bukan melunturkan, identiti nasional yang dikongsi bersama.
“Perpaduan tidak bermaksud menjadikan semua orang kelihatan sama, sebaliknya membina sebuah negara yang membolehkan kita kekal berbeza tanpa menghalang kita daripada saling memiliki antara satu sama lain,” katanya.
Dalam memilih motif untuk rekaan Kebayaree, wanita itu berkata mengelakkan imej keagamaan dan akan mengambil inspirasi daripada bunga, daun, sulur paut atau unsur alam semula jadi yang terdapat pada tekstil India, batik Malaysia serta sulaman kebaya.
Eksperimen Vatsala bukanlah satu-satunya usaha yang menyatukan sari dan kebaya.
Pereka tempatan, Arif Shukor, 38, turut meneroka padanan silang budaya itu menerusi rekaan khas yang menarik perhatian ramai selepas tular dalam talian.
Pengasas Arif Atelier itu berkata bahawa inspirasi bagi rekaan itu bukan disebabkan trend fesyen, tetapi daripada seorang pelanggan berketurunan campuran Melayu dan India yang mahu pakaian unik untuk majlis berinai perkahwinan berbilang kaum.
“Cabaran teknikal terbesar ialah mencari kaedah menjadikan bahagian dalam pakaian kelihatan seperti sari yang dililit secara manual tanpa menyebabkan kebaya seperti bertindih atau menggelembung,” katanya yang menambah rekaan itu memerlukan kemahiran yang teliti untuk menggabung dan mengekalkan elemen setiap tradisi.
Walaupun terdapat kritikan mendakwa fesyen sedemikian boleh menjejaskan warisan, Arif tetap mempertahankan rekaan itu sebagai cerminan identiti berbilang budaya pelanggannya, dengan tiada satu pun elemen budaya yang mendominasi pakaian tersebut.
“Elemen penting bagi saya ialah keunikan setiap perincian budaya tidak bertindih antara satu sama lain, ia harus saling melengkapi kedua-duanya,” katanya.
Arif berkata prinsip itu mencerminkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang telah lama hidup sebagai satu masyarakat dengan masing-masing mengekalkan identiti sendiri sambil berkongsi sebuah negara.
“Seperti mana rakyat Malaysia hidup dengan menghargai perbezaan antara satu sama lain, mewujudkan satu masyarakat yang seimbang dan saling melengkapi, begitu juga dengan rekaan saya… setiap perincian diberikan penekanan yang sama,” katanya
Arif berharap pendekatan reka bentuk rentas budayanya dapat diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas di rantau ini, kerana beliau percaya fesyen boleh mencerminkan pertembungan budaya serta pengaruh pelbagai rakyat Malaysia.
Bagi Vatsala dan Arif, penyatuan sari dan kebaya bukan hanya tentang mencipta sesuatu yang baharu sebaliknya mencari ruang untuk tradisi yang telah lama dikenali berkongsi ruang yang sama seperti negara yang menjadi inspirasi mereka.
-- BERNAMA