Am 15/08/2026 09:54 PM

Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Gegaran Dirasai Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Gegaran Dirasai Di Malaysia
Kredit : Laman Facebook Malaysian Meteorological Department

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 dikesan berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada 6.54 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan gempa itu berpusat di koordinat 2.9 darjah utara dan 98.8 darjah timur, dengan kedalaman 154 kilometer (km).

Gempa bumi itu berada pada jarak 37 km barat daya dari Permatang Siantar.

Menurut MetMalaysia, gegaran dirasai di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami kepada negara.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima sembilan panggilan kecemasan berhubung gegaran itu kira-kira 6.55 petang.

Beliau berkata panggilan berkenaan membabitkan empat kawasan di dua daerah di bahagian pulau serta beberapa kawasan di Seberang Perai.

"Anggota kami telah ke lokasi dan sedang menjalankan pemeriksaan lanjut (pada bangunan)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gegaran selama beberapa minit itu dilaporkan dirasai antaranya di Sungai Baru, Bayan Baru, George Town, Jelutong, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Air Itam di bahagian pulau serta Perai, Bagan, Teluk Air Tawar, Jalan Baru, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Bertam di Seberang Perai.

Seorang penduduk di Bagan, Syahirah Mokhtar, 45, berkata dia pada mulanya terkejut sebelum menghubungi anaknya di Pantai Robina, Bagan, yang turut mengalami keadaan sama.

Syahirah berkata gegaran itu dirasai kira-kira dua hingga tiga minit manakala air di dalam cawan yang diletakkan di atas meja turut kelihatan bergoncang.

"Kebanyakan penduduk pada mulanya tidak menyangka berlaku gegaran akibat gempa bumi kerana masing-masing ingatkan hanya pening kepala, namun ada yang menyedari lampu gantung dan kipas di rumah berayun. Jadi kami semua pakat turun ke bawah (keluar dari rumah) kerana bimbang apa-apa terjadi," katanya.

Di PERAK, pengguna media sosial berkongsikan mereka merasai gegaran berkenaan di sekitar Kuala Kangsar, Alor Pongsu, Bagan Serai, Teluk Intan, Ulu Kinta, Meru serta Ipoh.

“Sampai Ulu Kinta rasa goyang…,” kata seorang pengguna sosial menerusi Facebook manakala seorang lagi pengguna turut memuat naik hantaran memaklumkan merasai gegaran sama di Kuala Kangsar.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu.

-- BERNAMA