Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 15 Ogos (Bernama) -- Sabah mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 20.5 peratus bagi ketibaan pelancong Singapura dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata seramai 12,544 pelancong Singapura melawat Sabah dari Januari hingga Mei tahun ini, mencerminkan momentum positif serta keberkesanan usaha promosi kolaboratif dalam menarik pengunjung dari republik itu.
"Hubungan kami dengan Singapura terus kukuh dari tahun ke tahun, dan ini digambarkan dengan jelas menerusi angka pelancongan kita.
"Hasil usaha berterusan oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura (STTOS) serta rakan pelancongan kami dalam mempromosi dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Singapura, kami dapat melihat pertumbuhan yang memberangsangkan," katanya pada pelancaran Experience Sabah 2.0 di Marina Square pada Sabtu.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin.
Sementara itu, Anizan Siti Hajjar menegaskan bahawa usaha berterusan STTOS memainkan peranan penting dalam mengetengahkan komuniti perniagaan Sabah yang dinamik ke pasaran antarabangsa, terutamanya ke negara jiran seperti Singapura.
"Platform seperti ini memberi peluang kepada pencipta tempatan, artisan dan perniagaan, suatu pentas kecil yang menonjol untuk berkongsi kisah unik serta produk luar biasa mereka bersama penduduk dan pengunjung di Singapura," katanya.
Bertemakan "Explore. Connect. Thrive.", acara tiga hari dari Jumaat hingga Ahad itu menampilkan pelbagai perniagaan daripada ekosistem Sabah yang pelbagai, merangkumi sektor makanan dan minuman, peruncitan, gaya hidup, pertanian, kesejahteraan serta pelancongan.
-- BERNAMA