IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Tekad seorang ibu menabung untuk jaminan masa depan anaknya bertukar menjadi rezeki yang tidak disangka apabila Encik Muhammad Yaa'sin Muhamad Pilus, seorang individu Sindrom Down dari Trong, Perak, diumumkan sebagai pemenang hadiah BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) berjumlah RM100,000 menerusi kategori Cabutan Negeri – Hadiah Bonus pada Mei lalu.
Bagi Puan Suzanah Ismail, 54, seorang pembantu farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemenangan tersebut membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar ganjaran kewangan. Ia merupakan hasil daripada amalan menabung yang dipupuk lebih sedekad lalu secara konsisten, didorong oleh satu harapan iaitu untuk menyediakan jaminan kewangan yang lebih kukuh buat anak lelakinya yang kini berusia 24 tahun dan merupakan individu Sindrom Down ringan.