Dunia 13/08/2026 06:04 PM

Peranan Media Arus Perdana Semakin Penting Di Tengah-Tengah Penyebaran Maklumat Salah, Kandungan AI - KPE Bernama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Peranan Media Arus Perdana Semakin Penting Di Tengah-Tengah  Penyebaran Maklumat Salah, Kandungan AI - KPE Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Peranan media arus perdana sebagai sumber maklumat yang dipercayai menjadi semakin kritikal apabila maklumat salah, kandungan yang dimanipulasi dan bahan janaan kecerdasan buatan (AI) menimbulkan cabaran yang kian meningkat dan menjadikan usaha memelihara kredibiliti lebih penting daripada sebelum ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata media arus perdana kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk mendukung ketepatan, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam pelaporannya.

“Kepercayaan mesti diperoleh menerusi ketepatan, ketelusan, keseimbangan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu temu bual bersama agensi berita Xinhua menjelang Forum Media Asia-Pasifik yang akan berlangsung di Shenzhen, China, pada September.

Beliau berkata media tidak sepatutnya sekadar merakamkan mesyuarat rasmi, pertikaian dan krisis semata-mata, sebaliknya perlu bertindak sebagai jambatan untuk membantu masyarakat memahami budaya, kebimbangan serta aspirasi masyarakat lain.

“Menjadi jambatan tidak bermakna mengelak daripada isu-isu sukar. Media yang berwibawa mestilah kekal bebas dan bertanyakan soalan-soalan yang perlu.

“Tugas kita adalah untuk menjadi tepat tanpa mengapi-apikan, bersikap kritikal tanpa ada prasangka, dan terbuka kepada dialog tanpa mengorbankan prinsip-prinsip kewartawanan,” katanya.

Di rantau Asia-Pasifik yang lebih luas, Nur-ul Afida berkata media harus memberi liputan yang lebih meluas mengenai inovasi, pendidikan, budaya, pembangunan sosial serta pengalaman masyarakat awam serantau.

Bagi Bernama, beliau berkata keahliannya dalam Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) dan pengaturan pertukaran berita dua hala dengan pelbagai organisasi media telah membantu membawa perspektif yang lebih luas kepada khalayak.

“Sebagai agensi berita nasional Malaysia, Bernama bertanggungjawab menerangkan mengenai Malaysia kepada dunia dan mengenai dunia kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Forum Media Asia-Pasifik yang bakal berlangsung itu akan menyediakan platform penting bagi pakar-pakar media di rantau ini untuk bertukar-tukar pandangan dan memahami dengan lebih baik persekitaran tempat rakan sejawat mereka beroperasi.

Nur-ul Afida berkata dialog yang lebih luas boleh membantu memupuk kepercayaan yang lebih kukuh, pemahaman yang lebih mendalam dan kerjasama praktikal dalam kalangan organisasi media menerusi pertukaran berita, latihan bersama, penempatan wartawan, rakan kongsi semakan fakta dan laporan terbitan bersama.

“Apabila wartawan berkomunikasi secara langsung dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, kemungkinan mereka untuk bergantung kepada stereotaip atau naratif yang tidak lengkap berkurangan. Oleh itu, dialog yang lebih baik dalam kalangan profesional media boleh menyumbang kepada pemahaman awam yang lebih baik dan hubungan antarabangsa yang lebih konstruktif,” katanya.

Dalam temu bual itu, Nur-ul Afida turut menyerlahkan peranan media dalam membanteras penipuan dalam talian dengan meningkatkan kesedaran awam mengenai jeneyah itu.

Beliau berkata media arus perdana seharusnya menjelaskan modus operandi penipuan dengan kerap, mengetengahkan tanda-tanda amaran dan memberi panduan tindakan yang perlu diambil oleh orang ramai.

“Pelaporan mestilah kekal dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengelak daripada menyalahkan kewarganegaraan tertentu, terutamanya kerana sesetengah individu yang bekerja di pusat penipuan itu sendiri mungkin merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

“Penguatkuasaan, teknologi, perisikan kewangan, pendidikan awam dan kerjasama antarabangsa mesti bergerak seiring,” katanya.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata Malaysia dan ASEAN boleh mengambil ikhtibar daripada pengalaman China dalam memajukan industri medianya.

“Sektor media menyaksikan pelaburan besar dalam kandungan berteraskan peranti mudah alih, pengeluaran video, platform digital, kewartawanan data dan kecerdasan buatan. Kita juga harus memperkukuh kerjasama antara universiti, industri, agensi kerajaan dan organisasi media.

“Bagaimanapun, pengajaran itu perlu disesuaikan dan bukannya ditiru secara bulat-bulat. Pendekatan Malaysia mestilah mencerminkan masyarakat kita yang berbilang bahasa dan budaya,” katanya.

Nur-ul Afida menegaskan bagi media, teknologi sepatutnya meningkatkan tahap kewartawanan, manakala pertimbangan editorial, ketepatan, etika dan kebertanggungjawaban manusia mesti kekal sebagai keutamaan.

-- BERNAMA