Am 13/08/2026 07:41 PM

Imigresen Tumpaskan Sindiket Pemalsuan Dokumen, Dua Warga Bangladesh Ditahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Imigresen Tumpaskan Sindiket Pemalsuan Dokumen, Dua Warga Bangladesh Ditahan
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen menerusi operasi khas di ibu negara semalam, yang membawa kepada penahanan dua lelaki Bangladesh masing-masing dipercayai dalang utama dan ahli sindiket berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu susulan daripada tangkapan tiga lelaki Indonesia pada 5 Ogos lepas berkaitan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport.

“Semakan mendapati dalang utama yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS Sektor Pembinaan) manakala ahli sindiket itu didapati telah tinggal lebih masa.

“Menerusi operasi itu, sebanyak 2,110 naskhah pasport yang belum lagi dijadikan pasport (belum lengkap dicetak), tiga telefon bimbit, cop keselamatan masuk palsu dan mesin pencetak antara yang dirampas. Turut dikenal pasti adalah simpanan wang RM200,000 dalam aplikasi e-dompet dipercayai hasil kegiatan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menawarkan perkhidmatan kepada warganegara asing yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak.

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan oleh orang lain semasa proses saringan kesihatan. Kami percaya kemungkinan masih ada sindiket yang melakukan perkara sama dan aktiviti risikan akan diteruskan,” katanya.

Menurut Zakaria, sindiket itu juga dipercayai memalsukan pasport atau memberikan perakuan palsu dalam pasport bagi menunjukkan ia mempunyai rekod pergerakan keluar serta masuk yang sah, bertujuan mengaburi agensi penguat kuasa sekiranya ditahan di lapangan.

Bayaran yang dikenakan adalah RM200 hingga RM300 bagi setiap naskhah pasport dan sindiket dipercayai menyewa sebuah kondominium dengan bayaran RM1,600 untuk kegiatan haram itu.

Dalang utama sindiket itu ditahan di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala ahli sindiket ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

-- BERNAMA