Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 13 Ogos (Bernama) -- Indonesia pada Khamis melancarkan inisiatif Motosikal Elektrik Nasional (MOLINAS) ketika kerajaan meningkatkan usaha untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan mengurangkan pergantungan pada tenaga import.
Presiden Prabowo Subianto berkata penggunaan lebih banyak motosikal elektrik, kereta, bas, traktor dan peralatan berkuasa elektrik lain akan menjadikan tenaga Indonesia lebih terjamin sambil membolehkan negara menggunakan sumber semula jadinya yang banyak dengan lebih baik.
"Kita perlu mengelak bergantung pada tenaga dari luar negara. Kita terlalu besar untuk bergantung pada sumber luar," katanya ketika melancarkan MOLINAS keluaran tempatan dan ekosistem sokongannya di kemudahan pengeluaran PT Ilectra Motor Group (ALVA) di Bekasi, Jawa Barat.
Prabowo menyifatkan MOLINAS sebagai satu pencapaian penting yang didorong oleh inisiatif sektor swasta, khususnya Kumpulan Indika, yang menurut beliau telah mengambil risiko menceburi pengeluaran motosikal elektrik dan setakat ini sudah mengeluarkan 20,000 unit.
Beliau berkata kompleks kenderaan elektrik utama juga sedang dibangunkan di kawasan Subang, Jawa Barat sebagai sebahagian daripada ekosistem kereta elektrik Indonesia, dengan pengeluaran berskala besar disasarkan selewat-lewatnya pada 2028.
Sebagai sebahagian usaha menggalakkan penggunaan lebih banyak motosikal elektrik, Prabowo berkata kerajaan akan berusaha untuk menurunkan kadar pembiayaan dan meneroka penghapusan bayaran pendahuluan, sambil turut mempertimbangkan skim tukar beli bagi pemilik motosikal berkuasa petrol sedia ada.
Prabowo berkata Indonesia membelanjakan antara US$28 bilion dan US$30 bilion setiap tahun untuk bahan api dan berusaha mengurangkan pergantungannya pada tenaga import menerusi langkah termasuk biodiesel dan elektrifikasi.
Kerajaan turut merancang untuk membangunkan 100 gigawatt (GW) tenaga solar dalam tempoh empat tahun, termasuk sasaran 30 GW tahun ini, sambil beralih daripada penjanaan kuasa diesel.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Indonesia Rosan Roeslani berkata MOLINAS menyasarkan untuk membangunkan industri motosikal elektrik domestik yang berdikari dan berdaya saing dengan memanfaatkan sumber nikel Indonesia dan membangunkan pengeluaran hiliran sel dan pek bateri.
Beliau berkata Indonesia mempunyai kira-kira 140 juta motosikal, dengan jualan tahunan enam juta hingga tujuh juta unit, manakala jualan motosikal elektrik pada masa ini hanya berjumlah kira-kira 60,000 hingga 70,000 unit, menunjukkan potensi pertumbuhan yang ketara dalam pasaran yang dianggarkan boleh bernilai sehingga US$170 bilion.
-- BERNAMA