KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Rusia bersetuju memuktamadkan Pelan Tindakan Bersama 2027 sebelum penghujung tahun ini bagi memastikan kerjasama kedua-dua negara lebih tersusun serta berorientasikan hasil, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) ke-5 yang dipengerusikan beliau bersama dengan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia Valery Falkov di Vladivostok hari ini.
Beliau berkata berlandaskan momentum hubungan di peringkat tertinggi melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, JC-ESTC kali ini memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan hubungan baik kedua-dua negara kepada kerjasama yang lebih konkrit.
“Dalam pendidikan tinggi, sains dan pembangunan modal insan, Rusia akan meneruskan tawaran 40 biasiswa Kerajaan Rusia setiap tahun kepada pelajar Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata kedua-dua negara turut mengalu-alukan cadangan penganjuran Forum Rektor Malaysia-Rusia pertama pada 2027, pengembangan Program Aeroangkasa Institut Penerbangan Moscow(MAI)-Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dialog Bahan Mentah Rusia-Malaysia serta inisiatif pembangunan belia melalui Kem Musim Panas Kepimpinan Belia Malaysia-Rusia.
-Beliau berkata kesemua inisiatif itu akan membuka lebih peluang kepada pelajar, ahli akademik dan penyelidik kedua-dua negara untuk membina jaringan kerjasama.
“Dalam bidang perdagangan, pertanian dan pelaburan, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama perdagangan serta meneroka kerjasama bekalan baja termasuk urea bagi menyokong keterjaminan makanan Malaysia,” katanya.
Zambry berkata kerjasama dalam sektor strategik turut diperkukuh meliputi kecerdasan buatan, teknologi digital, bandar pintar, keselamatan maklumat, telekomunikasi, tenaga boleh baharu, gas asli cecair dan gas petroleum cecair serta penerokaan kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh kewangan Malaysia-Rusia dengan penglibatan Bank Negara Malaysia dan Bank of Russia termasuk meneroka peranan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa serta pintu masuk ke ASEAN selain potensi kerjasama dalam kewangan Islam dan aset digital.
Kerjasama turut diperluas dalam sektor industri, kesihatan, pengangkutan, teknologi hijau, perubahan iklim, ekonomi kreatif dan angkasa.
Pada mesyuarat itu, Zambry bersama Falkov turut menyaksikan pertukaran tiga perjanjian kerjasama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Rusia melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National Research University Moscow Power Engineering Institute, UiTM dengan Institute of Experimental Medicine serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan State University of Land Use Planning.
“Kedua-dua negara berharap kesepakatan melalui JC-ESTC dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan bermanfaat yang dapat dirasai rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Rusia berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata momentum itu akan diteruskan apabila Malaysia menjadi tuan rumah JC-ESTC ke-6 pada 2027 bersempena dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.
-- BERNAMA