Politik 14/08/2026 12:29 AM

PKR Perlu Berani Muhasabah, Jangan Salahkan Pengundi - AMK

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKR Perlu Berani Muhasabah, Jangan Salahkan Pengundi - AMK
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) terpilih, Muhammad Kamil Abdul Munim menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- PKR perlu berani bermuhasabah susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini dan tidak menyalahkan pengundi atas kekalahan dialami sebaliknya mencari sebab mengapa sebahagian rakyat masih belum yakin terhadap parti itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Ahmad Munim berkata kemenangan dalam pilihan raya memberikan keyakinan namun kekalahan perlu dijadikan ruang untuk melakukan refleksi diri dan memperbaiki kelemahan parti.

“Keputusan (beberapa) PRN yang lalu mesti kita lihat dengan keberanian... jangan salahkan rakyat sama sekali... jangan marah kepada pengundi kerana mereka tidak memilih kita... rakyat tidak berhutang undi kepada mana-mana parti, kitalah yang berhutang penjelasan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata PKR perlu memberikan jawapan lebih baik kepada naratif pihak tertentu yang cuba menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi dengan memainkan isu Melayu dan Islam terancam di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Kamil berkata kegagalan menjawab keresahan rakyat akan membuka ruang kepada pihak lain mengisinya dengan naratif ketakutan dan kecurigaan, justeru PKR perlu menawarkan “politik keyakinan” dengan memastikan kepentingan Melayu serta kedudukan Islam terus terpelihara dalam kerangka Malaysia yang adil dan menghormati kepelbagaian.

“Tugas kita memberikan jawapan kepada keresahan ini kerana kalau kita meninggalkan ruang tersebut kosong, orang lain akan mengisinya dengan ketakutan… kalau kita tidak memberikan keyakinan, orang lain akan menjualnya dengan kecurigaan... maka, kita mesti menawarkan sesuatu yang lebih besar iaitu politik keyakinan,” katanya.

-- BERNAMA