SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket meleraikan dan menjual kenderaan yang didalangi warga asing menerusi penahanan 20 suspek dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kapar, Klang, semalam.
Dalam kenyataan hari ini, JIM memaklumkan operasi pada 4.30 petang itu disertai 24 pegawai dan anggota, dengan penahanan 17 lelaki warga Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati sindiket yang didalangi warga Pakistan berkenaan aktif meleraikan dan menjual komponen kenderaan lusuh, termasuk dipercayai terbabit dalam kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik syarikat pengurusan jenazah di Kapar, baru-baru ini.
“Selain itu, serbuan berkenaan turut merungkai peranan warga Indonesia yang ditahan dalam menguruskan perkhidmatan transit bagi pendatang asing yang menunggu masa untuk pulang ke negara asal,” katanya.
Menurut JIM, perkhidmatan ‘rumah penampungan’ haram berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap pendatang asing.
Kesemua individu terbabit kini ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Dalam pada itu, JIM berkata pihaknya memandang serius penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah terancang yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
“JIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing serta rangkaian sindiket yang terlibat.
“Langkah susulan dan pemantauan berterusan akan terus diperkemas bagi memastikan tiada lagi aktiviti haram seumpama itu beroperasi di kawasan sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, JIM memberi amaran bahawa tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin, selain komited mempertingkatkan operasi di seluruh negara bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA