Am 13/08/2026 11:50 PM

GPMS Sokong Polisi Perlindungan Murid, Cadang Sesi Libat Urus Menyeluruh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GPMS Sokong Polisi Perlindungan Murid, Cadang Sesi Libat Urus Menyeluruh
GPMS

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh keselamatan dan kebajikan murid menerusi Polisi Perlindungan Murid Sekolah, namun mencadangkan proses libat urus bersama warga pendidik dan pemegang taruh dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Presiden GPMS Fazreen Fauzi berkata sesi penerangan, libat urus dan meja bulat bersama guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemegang taruh penting bagi memastikan tujuan, skop dan prosedur polisi berkenaan difahami dengan jelas serta mengambil kira realiti di sekolah.

Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik hasrat KPM mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi meneliti kebimbangan berhubung pelaksanaan polisi berkenaan, selain berharap ruang dialog itu dapat diperluas kepada warga pendidik.

“GPMS menyeru agar KPM membuka ruang dialog yang lebih menyeluruh bersama warga pendidik bagi memastikan polisi ini dapat dilaksanakan dengan jelas, adil dan mengambil kira realiti di sekolah. Melindungi murid adalah amanah, melindungi guru juga tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan KPM akan mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti kebimbangan berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang mencetuskan kegusaran banyak pihak baru-baru ini.

Pelaksanaan polisi itu, yang diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas, mewajibkan warga sekolah serta pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah dan warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan, iaitu kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang, polisi perlindungan murid, kebajikan guru serta suara murid.

-- BERNAMA