Am 13/08/2026 09:49 PM

PGA Tahan Empat Lelaki, Rampas Kayu dan Mesin RM602,100

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PGA Tahan Empat Lelaki, Rampas Kayu dan Mesin RM602,100
Kredit: PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Empat lelaki termasuk pemilik sebuah stor kayu ditahan manakala kayu dan mesin pemprosesan bernilai keseluruhan RM602,100 dirampas dalam serbuan Ops Taring Wawasan Kelantan di sebuah stor kayu di Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah sini, hari ini.

Serbuan pada 11.30 pagi itu dilakukan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang, dengan bantuan anggota risikan batalion berkenaan serta Jabatan Perhutanan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata dalam serbuan di stor Syarikat Bukit Kechik Wood Timber Enterprise itu, pihaknya menahan pemilik stor berusia 60 tahun serta tiga pekerjanya yang berumur antara 24 dan 50 tahun.

"Kesemua mereka ditahan selepas pemeriksaan mendapati stor berkenaan memiliki dan memproses kayu tanpa cukai yang sah. Pemilik stor mengemukakan lesen pengoperasian, namun gagal mengemukakan dokumen berkaitan cukai pemilikan kayu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata pemeriksaan di kawasan stor turut menemukan 4,007 batang kayu yang telah dipotong dalam pelbagai saiz, 107 batang kayu bulat serta 62 batang kayu bulat yang belum dipotong.

Ahmad Radzi berkata pemeriksaan di kawasan stor turut menemukan 4,007 batang kayu yang telah dipotong dalam pelbagai saiz, 107 batang kayu bulat serta 62 batang kayu bulat yang belum dipotong.

Turut dirampas ialah dua unit mesin Bandsaw dan dua unit mesin Cross Cut yang digunakan untuk memproses kayu berkenaan.

“Kesemua barang kes dianggarkan bernilai RM602,100 dan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Bedliau berkata siasatan awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi kira-kira 15 tahun dan pemiliknya mendapatkan bekalan kayu daripada pekebun di sekitar Tanah Merah sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Kayu yang telah siap diproses dihantar ke kilang kayu di Kuantan, Pahang dan Muar, Johor. Pemilik stor turut menyewa tapak berkenaan pada kadar RM1,000 sebulan dan menggaji tiga pekerja warganegara Malaysia,” katanya.

Ahmad Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

-- BERNAMA