Am 13/08/2026 09:50 PM

Sekolah Perlu Hentikan Aktiviti Luar Bilik Darjah Jika IPU Lebih 100 - JPNPP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sekolah Perlu Hentikan Aktiviti Luar Bilik Darjah Jika IPU Lebih 100 - JPNPP
Pemandangan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shan diselubungi jerebu ketika tinjauan hari ini.Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di beberapa lokasi di Pulau Pinang hari ini kebanyakannya berada pada tahap sederhana setakat 1 tengah hari, dengan Minden merekodkan bacaan tertinggi iaitu 103. Seberang Jaya mencatat bacaan 96, Seberang Perai (94) dan Balik Pulau (89). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata laman sesawang rasmi JAS, iaitu Air Pollutant Index Management System (APIMS) menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden di sini petang tadi.

“Kami sedang memantau keadaan IPU dari semasa ke semasa buat masa ini dan mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan. Sekolah yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat masih beroperasi seperti biasa tetapi tiada sebarang aktiviti di luar bilik darjah dibenarkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sebanyak tujuh sekolah, melibatkan empat sekolah rendah dan tiga sekolah menengah berada di kawasan sekitar Minden. Jika tahap IPU masih merekodkan bacaan tidak sihat pagi esok, pihak sekolah akan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

APIMS menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden pada paras 107 kira-kira 12 tengah hari dan 103 sejam kemudian. Seterusnya bacaan pada 3 petang bagi stesen itu menurun kepada IPU sederhana, iaitu dengan bacaan 97 dan terkini pada 8 malam bacaan 96 (sederhana).

Bacaan pada 8 malam ini bagi Stesen Balik Pulau, Stesen Seberang Perai dan Seberang Jaya pula mencatatkan antara 84 hingga 95, iaitu sederhana.

Mohamad Dziauddin berkata beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama semua guru besar dan pengetua pada 11 pagi esok untuk memberikan maklumat terkini serta tindakan yang perlu diambil sekiranya keadaan jerebu atau IPU mencatatkan bacaan tidak sihat di Pulau Pinang.

Beliau berkata murid juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung serta minum air dengan kerap manakala pihak sekolah perlu merujuk murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.

Berdasarkan garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.

Garis panduan itu turut menetapkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200 dan menunjukkan trend penurunan.

-- BERNAMA