Am 13/08/2026 08:48 PM

Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Rendah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Rendah

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) mungkin kekal lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama, meskipun data inflasi yang lebih rendah berbanding jangkaan. 

Ahli strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata indeks harga pengguna (IHP) AS yang lebih rendah telah mengurangkan jangkaan kenaikan kadar faedah jangka pendek oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan, yang sepatutnya menyokong permintaan ke atas emas.

Bagaimanapun, bulion susut di bawah US$4,400 setiap auns troy apabila pelabur kekal tertumpu pada prospek kadar faedah AS.

“Dolar AS hampir pulih semua kerugian daripada pasca-IHPnya, yang menunjukkan kepada saya bahawa pedagang telah melepasi paras inflasi dan beralih kepada Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole ke-48 pada akhir bulan ini bagi mendapatkan petunjuk dasar bermakna yang seterusnya.

“Masih wujud prasangka yang kukuh dalam pasaran bahawa beberapa permintaan oleh bank pusat (emas) tidak dilaporkan dalam masa nyata, sekali gus memberikan tawaran berterusan di bawah pasaran.

“Jadi, walaupun hasil bon AS yang lebih tinggi kekal sebagai halangan jangka pendek yang jelas, permintaan fizikal dan sektor rasmi dijangka terus menyokong emas daripada penurunan yang lebih mendalam,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak semerta bulan Ogos 2026 susut kepada US$ 4,388.80 setiap auns troy daripada US$4,424.20 setiap auns troy pada Rabu, manakala kontrak September 2026 berkurang kepada US$4,405.00 setiap auns troy daripada US$4,445.90 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Oktober dan November 2026 masing-masing merosot kepada US$4,421.20 setiap auns troy daripada US$4,457.60 sebelumnya, manakala kontrak Disember 2026 turun kepada US$4,429.90 setiap auns troy daripada US$4,457.60.

Jumlah dagangan meningkat kepada 218 lot berbanding 169 semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 301 kontrak berbanding 269 kontrak sebelumnya. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,426.65 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 12 Ogos 2026. 

-- BERNAMA