Am 13/08/2026 07:17 PM

Inisiatif Diteraju ASM Pacu Transformasi Ekosistem Penjagaan Kesihatan - Chang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Inisiatif Diteraju ASM Pacu Transformasi Ekosistem Penjagaan Kesihatan - Chang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang menyampaikan ucapan pada Majlis Forum Peringatan Tahunan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2026 dan Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Perubatan (RBS) hari ini.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Berorientasikan Misi (MOI) Kebangsaan bagi Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan Digital yang diterajui Akademi Sains Malaysia (ASM) akan menggembleng pihak berkepentingan utama bagi mentransformasi ekosistem penjagaan kesihatan ke arah hasil yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata inisiatif itu, yang juga satu daripada tujuh MOI Kebangsaan yang diluluskan Majlis Sains Negara akan melangkaui projek digital secara berasingan dengan menghimpunkan kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, penyelidik, industri dan komuniti bagi mencapai hasil nasional yang boleh diukur.

Beliau berkata hasil itu termasuk kesinambungan penjagaan yang lebih baik, pengesanan penyakit lebih awal, akses yang lebih saksama serta sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan.

“Ia juga memperkukuh kesinambungan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) dengan menghubungkan keperluan kesihatan dengan keutamaan penyelidikan, membolehkan inovasi disahkan dalam persekitaran sebenar, menyokong penerimaan dan pengkomersialannya serta memperluas penyelesaian yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Peringatan Tahunan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) 2026 dan Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS di sini.

Chang berkata Malaysia Observational Health Data Sciences and Informatics (OHDSI) Chapter, yang dilaksanakan ASM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, khususnya Institut Kesihatan Negara serta dihubungkan dengan Platform Sains Terbuka Malaysia adalah langkah penting ke arah mewujudkan platform kerjasama kebangsaan.

Beliau berkata inisiatif itu menyokong usaha MOI Kebangsaan mengenai Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan Digital.

“OHDSI menggalakkan penggunaan piawaian data yang sama bagi membolehkan analisis data kesihatan yang lebih konsisten, bertanggungjawab dan bermakna merentasi institusi serta sistem yang berbeza bagi memajukan penyelidikan, inovasi dan hasil penjagaan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Pada acara itu, Dr Low Liang Ee dari Monash University Malaysia diumumkan sebagai penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS 2026 bagi projek bertajuk Development of pH-sensitive Morphological Transformable Nanoparticles for Tumor-specific Accumulation, Prolonged Retention and Magnetic Hyperthermia Therapy.

Sementara itu, Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara berkata program itu menerima 125 permohonan tahun ini, dengan tujuh daripadanya disenarai pendek.

Beliau berkata setiap cadangan melalui penilaian yang ketat dan telus berdasarkan kecemerlangan saintifik, pendekatan inovatif serta potensi untuk memberikan manfaat kesihatan dan sosioekonomi kepada negara.

Tengku Mohd Azzman berkata tema tahun ini, Artificial Intelligence (AI)-enabled Healthcare for Smarter Solutions and Well-Being memberi tumpuan kepada peranan teknologi baharu muncul dan disruptif dalam meningkatkan hasil penjagaan kesihatan.

“AI menawarkan pelbagai kemungkinan penting. Ia boleh menyokong pengesanan awal, analisis imej perubatan yang lebih tepat, mempercepat penemuan ubat, meningkatkan perancangan kesihatan penduduk serta mensistematikkan tugas pentadbiran rutin supaya lebih cekap dan produktif,” katanya.

Sementara itu, ahli panel forum Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata AI boleh menjadi sangat berkesan dalam mengenal pasti corak dalam imej perubatan, namun penemuannya tidak wajar dianggap sebagai diagnosis muktamad tanpa pengesahan klinikal lanjut.

Beliau bagaimanapun berkata AI boleh membawa perubahan yang ketara apabila ia berupaya menghubungkan sumber data kesihatan yang berbeza, termasuk penemuan perubatan dan maklumat genetik, bagi mengenal pasti kes yang memerlukan pandangan kedua.

“Di sinilah AI benar-benar membawa perubahan kerana ia boleh menghubungkan semua sumber data yang berbeza ini dan menyatakan bahawa anda benar-benar wajar mendapatkan pandangan kedua,” katanya.

-- BERNAMA