Am 13/08/2026 06:14 PM

Wan Harriz Mara Ke Final Dunia Hippo English 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wan Harriz Mara Ke Final Dunia Hippo English 2026
Kredit: FB Dr Naqib Ghazali

JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum melakar kejayaan membanggakan apabila muncul johan 'Play-Off Qualifier pertandingan Hippo English Without Borders 2026' yang berlangsung di Doha, Qatar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata kejayaan murid kelas 4 Sapphire dari Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) SK Tasek Utara itu melayakkannya mara ke pusingan akhir dunia yang dijadualkan berlangsung di Spoleto, Itali, pada Oktober ini.

“Pencapaian ini bertepatan dengan Teras 1 SRBJ, iaitu Penguasaan Bahasa Inggeris, dalam memperkukuh aspirasi SRBJ untuk melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berkeyakinan, bijak berkomunikasi serta berkeupayaan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa itu disertai lebih 90,000 pelajar berusia antara enam hingga 19 tahun dari lebih 70 negara, selaras dengan  Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) yang menilai penguasaan peserta dalam aspek membaca, menulis, mendengar, bertutur dan tatabahasa.

Tempat kedua dimenangi peserta dari Arab Saudi, manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Kyrgyzstan.

Seorang lagi peserta Malaysia, Eshant Ashvik Shashidara dari SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, menduduki tempat kelima dalam pusingan penentuan kelayakan dan tidak mara ke pusingan akhir dunia.

Sementara itu, Muhammad Naqib berkata Aaron Yung Wayze dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hwa turut mencatat kejayaan apabila muncul johan Pusingan Benua Asia-Pasifik Hippo English Without Borders Ke-14 di Phuket, Thailand, pada 2 hingga 5 Julai lepas.

SRBJ merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, sebagai salah satu inisiatif strategik bagi memperkasa sistem pendidikan negeri demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang holistik, berdaya saing dan berpandangan jauh.

-- BERNAMA