GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Kualiti udara di Pulau Pinang pada kategori sederhana sehingga tidak sihat dengan Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 60 hingga 107 susulan peningkatan bilangan lokasi hotspot atau titik panas di beberapa kawasan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berdasarkan maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang terdapat empat Stesen Pengawasan Kualiti Udara Automatik di negeri ini, iaitu di Seberang Jaya, Seberang Perai, Minden dan Balik Pulau.
"Bagi tempoh 10 hingga 13 Ogos, setakat 3 petang ini, kualiti udara di Pulau Pinang secara keseluruhannya berada pada kategori sederhana sehingga tidak sihat dan berdasarkan laman sesawang JAS, iaitu Air Pollutants Index Management System (APIMS) menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden pada paras 107 pada 12 tengah hari dan 103 sejam kemudian.
"Seterusnya bacaan terkini pada 3 petang bagi stesen itu menurun kepada IPU sederhana, iaitu dengan bacaan 97, trend pemantauan juga menunjukkan Stesen Minden dan Balik Pulau merekodkan bacaan antara 57 hingga 107, manakala Stesen Seberang Perai dan Seberang Jaya mencatatkan bacaan antara 66 hingga 96," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, tiga stesen masih berada dalam kategori sederhana, manakala hanya satu stesen menunjukkan bacaan tidak sihat.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat IPU terkini mengikut lokasi masing-masing menerusi sistem rasmi APIMS JAS.
Orang ramai turut dinasihatkan mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka termasuk pembakaran sampah, daun kering dan sisa pertanian serta segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran kepada pihak berkuasa.
"Kerajaan negeri melalui JAS dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara serta kawasan titik panas secara berterusan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pengetua dan guru besar sekolah di negeri ini bagi berbincang dan menjelaskan tindakan susulan.
Beliau berkata setakat ini, surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi panduan bagi tindakan JPNPP, antaranya mengehadkan aktiviti fizikal di kawasan terbuka, kekal hidrasi dan berpakaian sesuai.
"Ibu bapa juga diminta untuk membekalkan pelitup muka dan air yang mencukupi … dan ketika ini pihak sekolah sudah dimaklumkan mengenai situasi semasa (jerebu), dan keadaan masih terkawal," katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA