Am 13/08/2026 06:01 PM

Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Harga Minyak Lebih Lemah, Ringgit Mengukuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Harga Minyak Lebih Lemah, Ringgit Mengukuh

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah ditutup rendah pada Khamis disebabkan harga minyak mentah yang lebih rendah dan ringgit yang sedikit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent susut 1.75 peratus kepada US$87.42 setong.

“Harga minyak merosot pada Khamis ketika pelabur menilai prospek permintaan global yang lebih lemah tahun ini, walaupun penurunannya terhad berikutan tiada kemajuan besar dalam rundingan berhubung Selat Hormuz yang masih disekat dan gangguan bekalan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata kebimbangan terhadap permintaan getah global dan aktiviti industri tayar yang kurang memberangsangkan turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya terhad berikutan pertumbuhan jualan kenderaan elektrik (EV) global yang berterusan pada Julai, manakala kebimbangan El Nino dan jangkaan permintaan tayar yang lebih kukuh dalam bulan-bulan akan datang memberikan sedikit sokongan.

“Jualan EV global meningkat sembilan peratus tahun ke tahun kepada 1.85 juta unit pada bulan Julai, disokong oleh pertumbuhan kukuh di Eropah, manakala kebimbangan El Nino mungkin mengehadkan bekalan pada akhir tahun ini, sekali gus memberikan sedikit sokongan kepada harga,” tambahnya.

Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 31.5 peratus kepada 26,553 tan pada Jun 2026 daripada 20,198 tan pada Mei 2026.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 1.5 sen kepada 916 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 0.5 sen kepada 692 sen sekilogram.

-- BERNAMA