KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan Jawatankuasa Kecil Penilaian dan Audit Prestasi Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 bagi memperkukuh persiapan kontinjen negara untuk merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan dan naib juara temasya itu.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menilai keberkesanan pelaksanaan program latihan kendalian MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) mengikut tiga fasa persiapan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi program sedia ada.
“Jawatankuasa juga akan memberikan cadangan penambahbaikan kepada pihak MSN dan ISN untuk kita menambah baik program supaya hasrat menjadi juara keseluruhan Sukan SEA 2027 dan naib juara Sukan Para ASEAN 2027 dapat dicapai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di MSN.di sini, hari ini.
Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu merupakan pendekatan baharu MSN dengan membawa masuk kepakaran luar untuk mendapatkan pandangan bebas dalam menilai serta menambah baik program persediaan atlet.
Pendekatan itu berbeza ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 apabila proses penilaian prestasi dilaksanakan sendiri oleh MSN dan ISN tanpa kewujudan jawatankuasa audit khusus, katanya.
“Kita berpandangan sebagai pihak yang melaksanakan program latihan, kita memerlukan input daripada luar untuk memberikan cadangan selain perkara yang kita fikir atau kita laksanakan selama ini,” katanya.
Jefri berkata jawatankuasa itu juga diberikan ruang untuk turun padang ke pusat latihan dan mengadakan sesi libat urus secara langsung bersama persatuan sukan, jurulatih dan atlet sepanjang tiga fasa persiapan.
Jawatankuasa Kecil Penilaian dan Audit Prestasi Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur Datuk Marina Chin.
Turut dilantik ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin; serta Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Eksesais Universiti Malaya (UM) Dr Eliza Hafiz.
Pakar perubatan sukan Dr Arshad Puji; pakar psikologi sukan Prof Dr Garry Kuan Pei Ern serta bekas pemain skuasy negara Sharon Wee juga dilantik menjadi anggota jawatankuasa itu.
-- BERNAMA